KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut dilanggar sebuah lori dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Terowong 2, Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Jalan Damansara, di sini pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, nahas yang berlaku kira-kira jam 9.30 pagi itu menyebabkan lelaki tempatan cedera parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa yang berada di lorong kanan dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang Honda City di lorong sama yang dipandu lelaki berusia 28 tahun.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh di lorong kiri sebelum dilanggar lori Hino dipandu lelaki berusia 40 tahun kerana gagal mengelak hingga mengakibatkan mangsa parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur manakala kedua-dua pemandu lain tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” jelasnya. – MalaysiaGazette
















