KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Betty Banafee hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka selepas didakwa melanggar perintah mahkamah pada 11 September 2024.
Betty atau nama sebenarnya, Ibtisam Betty Banafee Sekh Abu Bakar, membuat permohonan maaf itu menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, semalam.
Tindakan berkenaan susulan kenyataan yang dikeluarkannya menerusi beberapa platform media sosial yang didakwa mampu menjejaskan imej sebuah syarikat perkapalan milik bumiputera di Johor, selain bercanggah dengan arahan mahkamah.
Menerusi hantaran itu, Betty turut mengesahkan semua hantaran berkenaan telah dipadam pada tahun lalu.
“Saya Betty Banafee, pada 20 September 2026, memohon maaf kepada Mahkamah yang Mulia ini kerana telah melanggar terma Perintah Injuksi Ad-Interim bertarikh 11 September 2024.
“Pelanggaran tersebut adalah berkenaan hantaran-hantaran dan video yang telah saya muat naik dalam akaun TikTok, Instagram dan Facebook milik saya, 1 September 2024, 8 September 2024, 2 December 2024 bertentangan dengan terma-terma Perintah Injuksi Ad-Interim tersebut dan setakat ini semuanya sudah dipadamkan pada tahun lepas 2025,” katanya.
Dalam pada itu, Betty turut menzahirkan kekesalan terhadap tindakannya selain berjanji untuk menghormati proses undang-undang pada masa akan datang.
“Saya kesal dan memohon maaf atas kesemua kesulitan yang dihadapi dan mengakujanji untuk mematuhi perintah Mahkamah yang Mulia termasuk Perintah Injuksi yang diberikan oleh Mahkamah yang mulia pada 04 March 2025,” katanya lagi.
Sebelum ini, Betty bersama adiknya, Shakib Abu Bakar Banafee, juga dilaporkan bersetuju membuat permohonan maaf di Mahkamah Tinggi Johor Bahru berhubung perbuatan sama.
Baru-baru ini, peguam yang mewakili syarikat perkapalan berkenaan, Datuk Arthur Wang Ming Way, menerusi kenyataannya berkata, kedua-dua mereka sebelum ini turut menerima permohonan komital berhubung perbuatan sama.
Pada September 2024, Betty dan adiknya mencetuskan kontroversi selepas membuat beberapa kenyataan yang mempertikaikan siasatan polis berhubung satu kes yang telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut. – MalaysiaGazette
















