Timbalan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan

KUALA LUMPUR – Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan disifatkan menderhaka kepada insitusi diraja kerana memberi arahan melaksanakan pewartaan untuk menggulingkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata, tindakan tersebut bukan sahaja bercanggah dengan sumpah jawatan Exco, bahkan menjejaskan keharmonian rakyat dan kedudukan Institusi Diraja negeri itu.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan terbaharu susulan tindakan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan anggota Exco berkuat kuasa serta-merta.

“Pembatalan lantikan ini berlaku setelah kesemua Exco memungkiri sumpah jawatan mereka yang memberi arahan kepada penjawat awam Kerajaan Negeri bagi menjalankan pewartaan untuk menggulingkan takhta Tuanku Muhriz.

“Perbuatan penderhakaan itu secara tidak langsung menjejaskan keharmonian rakyat, mencetuskan kecelaruan umum dan menghakis keyakinan terhadap Institusi Diraja Negeri Sembilan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 Exco Negeri Sembilan berkuat kuasa serta-merta pada Ahad.

Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit memungkiri sumpah jawatan mereka.

Kenyataan itu selari dengan penjelasan Istana Negeri Sembilan bahawa pelantikan anggota Exco dibatalkan selepas mereka didapati memungkiri sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan pada 15 September lalu.

Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 pula memperuntukkan seseorang ahli Exco memegang jawatan selagi diperkenankan Yang di-Pertuan Besar.

Edy juga berkata, PKR Negeri Sembilan menjunjung tinggi kedaulatan Institusi Diraja selain menghormati UUTKNS 1959 dan Adat Perpatih sebagai asas penting dalam tadbir urus negeri.

“Tindakan Exco terbabit menjadi lebih serius apabila ia menyentuh kedudukan Yang Dipertuan Besar dan dikaitkan dengan usaha melaksanakan pewartaan berkaitan Proklamasi 19 April 2026,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 17 September lalu telah menyatakan proklamasi berkenaan tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.

“AGC turut menegaskan Menteri Besar dan Exco tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar.

“Sebarang tindakan pewartaan atau pelaksanaan proklamasi itu juga dinyatakan tidak sah dan tidak berperlembagaan.

“Justeru, tindakan yang cuba dilakukan oleh Exco terbabit bukan perkara kecil kerana ia menyentuh soal kedaulatan Institusi Diraja dan batas kuasa yang diperuntukkan di bawah UUTKNS 1959,” katanya.

Edy turut memuji penjawat awam Negeri Sembilan yang didakwa memilih untuk tidak melaksanakan arahan berkaitan pewartaan pelucutan takhta Tuanku Muhriz.

“Syabas juga diucapkan kepada penjawat awam Negeri Sembilan yang memilih untuk tidak bersekongkol dengan penderhaka apabila mengingkari arahan Exco bagi mewartakan pelucutan takhta Tuanku Muhriz.

“Tindakan terpuji ini wajar menjadi contoh yang menjulang semangat,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan Exco sebagai langkah mempertahankan kedaulatan Institusi Diraja.

Bagaimanapun, Edy turut menggesa rakyat Negeri Sembilan supaya kekal tenang dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian negeri.

“Penerangan PKR menyeru rakyat Negeri Sembilan agar kekal tenang, menghormati proses undang-undang, menjaga keharmonian negeri dan menyerahkan sebarang pertikaian untuk diselesaikan melalui saluran perlembagaan dan undang-undang yang sah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. alaaaa rakyat dah tendang kau ke laut..rakyat NS meluat dgn PH ni..tak payah lah menyibuk…blh Cuba lg dlm PRN akan datang..batu api sungguh

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here