Polis buru enam suspek kes kecurian kabel di Temerloh.

TEMERLOH – Tiga kumpulan penjenayah ‘Geng Mat Letrik’, ‘Geng Mista’ dan ‘Geng Sasi’ dikenal pasti aktif kegiatan mencuri kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) di sekitar daerah ini sejak bulan Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, tujuh orang suspek telah ditahan dalam serbuan melibatkan tiga buah kediaman dan dua buah kenderaan dalam tempoh lima hari, bermula 15 September lepas, di sekitar daerah ini.

Menurutnya, sebanyak 455 batang kabel TNB pelbagai saiz dan jenis telah dirampas dalam serbuan itu.

Rampasan turut membabitkan enam gulung kabel TNB anggaran panjang 150 meter, sembilan guni mengandungi gelung kabel tembaga disyaki kabel TM, tiga guni gelung kabel wayar TNB selain dua guni gelung kabel TM.

“Polis juga merampas tujuh alat pemotong kabel, empat alat pemotong wayar, satu alat pembuka lubang ‘manhole’ serta tiga buah kenderaan yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM50,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron (kanan) dalam sidan media di IPD Temerloh hari ini

Menurut Mohd Nasyim, kesemua suspek daripada tiga kumpulan itu merupakan enam lelaki dan seorang wanita yang berusia lingkungan 16 hingga 40 tahun.

“Daripada tujuh suspek tersebut, tiga orang terlibat secara langsung mencuri kabel TNB, dua orang terlibat secara langsung mencuri kabel TM dan dua lagi dipercayai membantu memproses kabel TM yang dicuri,” katanya lagi.

Katanya, hasil saringan ujian air kencing terhadap semua suspek  tempatan didapati positif dadah jenis methamphetamine.

Jelasnya, kesemua suspek telah ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 (2) Akta komunikasi dan Multimedia.

Beliau berkata, pihaknya kini giat mengesan enam lagi suspek iaitu tiga lelaki Melayu dan tiga lelaki India termasuk ketua kedua-dua kumpulan ‘Geng Mista’ dan ‘Geng Sasi’ itu yang masih bebas.

Sehubungan itu beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesemua suspek yang masih bebas agar tampil bagi membantu siasatan.

“Jenayah curi kabel ini bukan lagi kita anggap sebagai jenayah kecil. Apabila sindiket memotong kabel telekomunikasi atau utiliti ini, mereka bukan sekadar mencuri logam. Tapi mereka mensabotaj infrastruktur negara.

“Mereka melumpuhkan capaian internet ke sekolah-sekolah, hospital, mengganggu perkhidmatan kecemasan, mencetuskan gangguan elektrik dan meletakkan nyawa orang awam dalam risiko,” katanya lagi.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron (dua dari kiri) menunjukkan hasil rampasan kabel TNB dan kabel TM di IPD Temerloh

Sementara itu, Mohd Nasyim berkata, pihaknya menerima empat laporan kes kecurian kabel TNB dan empat kes kecurian kabel TM berlaku di kawasan Mentakab dan Lanchang, di sini sejak bulan Julai 2026 sehingga bulan September 2026 yang menyebabkan kerugian kira-kira RM100,000.

“Saya memberi amaran kepada semua sindiket-sindiket, pembeli-pembeli yang menjadi dalang perdagangan haram ini. Tempoh hukuman ringan telah tamat untuk anda semua. Mana-mana suspek yang terlibat akan didakwa dengan pelbagai akta yang bertindih,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here