Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menyempurnakan perasmian Festival Penceritaan Malaysia 2026 di PNM, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR – Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dicadang mewujudkan “Repositori Digital Cerita Malaysia” sebagai khazanah digital nasional bagi memastikan cerita yang membentuk identiti negara terus dipelihara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif itu dapat memperluas peranan PNM bukan sahaja sebagai penjaga bahan terbitan negara, malah sebagai penjaga memori dan suara bangsa.

“Inisiatif ini akan menjadikan PNM bukan sahaja sebagai penjaga bahan terbitan negara, tetapi turut berperanan sebagai penjaga memori dan suara bangsa agar cerita-cerita yang membentuk identiti Malaysia tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Menurut beliau, repositori berkenaan juga boleh menjadi sumber ilmu, penyelidikan dan inspirasi kepada generasi akan datang.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Festival Penceritaan Malaysia 2026 di PNM, di sini, hari ini.

Aaron berkata, penceritaan mengenai Malaysia dan pelbagai cerita yang menjadi identiti nasional perlu terus diketengahkan khususnya kepada generasi muda.

“Ini adalah satu program yang amat penting bagi kita sebab sekarang ini kementerian masih dalam proses pembinaan negara bangsa dan ini adalah satu-satunya aktiviti menjurus kepada cerita, cerita Malaysia dan cerita macam-macam yang menjadi identiti nasional kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kecerdasan buatan (AI) tidak seharusnya dilihat sebagai pengganti kepada penceritaan manusia, sebaliknya dimanfaatkan secara beretika bagi memperluas kreativiti dan penyampaian.

Katanya, penggunaan teknologi berkenaan perlu terus mempertahankan keaslian, integriti serta nilai kemanusiaan dalam setiap penceritaan.

Festival Penceritaan Malaysia 2026 yang membawa tema “Penceritaan Sebagai Warisan Masyarakat Berilmu” berlangsung selama dua hari bermula hari ini hingga 22 September.

Pelbagai pengisian disediakan termasuk Bicara Ilmu, podcast, sesi bercerita, bengkel teknik bercerita, animasi dan komik digital, penulisan serta ilustrasi buku dan pertandingan bercerita. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here