KOTA BHARU – Bekas timbalan pengurus besar projek pembinaan TH Properties mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tengku Kamarolhisham Tengku Kamaruddin didakwa atas pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah wang hasil kutipan penalti daripada kontraktor bagi projek pembinaan bangunan komersial milik Tabung Haji (TH).
Lelaki berusia 55 tahun itu didakwa bersubahat dengan Mohamad Hashim Mukhatap yang ketika itu merupakan Pengurus Pembinaan THP Timur Sdn Bhd dan seorang ejen yang diamanahkan dengan penguasaan wang berjumlah RM14,000 telah melakukan pecah amanah terhadap wang tersebut.
Wang berkenaan merupakan hasil kutipan penalti terhadap kontraktor Kelpile Sdn Bhd bagi projek cadangan membina dan menyiapkan sebuah bangunan komersial 22 tingkat yang mengandungi 244 unit pangsapuri perkhidmatan, empat unit penthouse, kemudahan awam, ruang perniagaan, tempat letak kereta, sub-basement satu tingkat serta kemudahan berkaitan di atas Lot 273, Seksyen 12, Bandar Kota Bharu, Kelantan.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pada 15 Sept lepas, Mohamad Hashim, 53, sebagai Pengurus Pembinaan THP Timur Sdn Bhd didakwa atas pertuduhan pecah amanah dengan menyalahgunakan wang berkenaan dengan memasukkannya ke dalam akaun bank miliknya. -BERNAMA
















