Gambar hiasan

ISLAMABAD — Zara Shah, 17, menjadi sasaran seorang lelaki tidak dikenali ketika bermain permainan komputer sebelum terjebak dalam satu perbualan yang akhirnya mendedahkannya kepada eksploitasi seksual dalam talian yang mengerikan.

Zara, nama yang diubah oleh AFP atas faktor keselamatan, merupakan antara kira-kira 1.5 juta kanak-kanak di Pakistan yang mengalami penderaan seksual dalam talian dalam tempoh setahun, menurut laporan yang diterbitkan agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bulan ini.

“Kami mula berbual ketika bermain permainan dalam talian dan kemudiannya kami berkawan sebelum dia mahu berjumpa saya.

“Selepas itu, dia mula meminta gambar bogel saya,” kata Zara.

Tambah gadis itu, lelaki berkenaan mula mengugut mencari keluarga untuk memberitahu mereka bahawa dia dan Zara pernah berhubung.

Menurut laporan UNICEF itu, kira-kira 85 peratus pelaku dikenali oleh mangsa yang berusia antara 12 hingga 17 tahun.

Penulis utama laporan global UNICEF, Daniel Kardefelt memberitahu AFP eksploitasi itu mungkin bermula dengan perbualan mesra, interaksi ketika bermain permainan, tawaran hadiah, wang atau percintaan.

“Pelaku mungkin mengambil masa berbulan-bulan untuk membina kepercayaan dengan menggunakan maklumat yang mereka peroleh daripada media sosial,” katanya.

Di Pakistan yang majoriti penduduknya beragama Islam, 71 peratus mangsa tidak memberitahu sesiapa mengenai penderaan yang dialami, menurut laporan UNICEF itu.

Tiada seorang pun kanak-kanak yang ditinjau melaporkan penderaan tersebut melalui saluran rasmi, termasuk polis, talian bantuan atau pekerja sosial.

Kebanyakan mereka memilih untuk berdiam diri kerana stigma, rasa malu dan kebimbangan mengenai reaksi keluarga atau masyarakat.

kata Mehek Naeem, pengarah PAHCHAAN, sebuah pertubuhan hak kanak-kanak yang berpangkalan di Lahore, timur Pakistan.

“Kira-kira 44 peratus daripada penderaan yang dilaporkan berlaku sepenuhnya dalam talian, dengan Snapchat dan WhatsApp antara platform yang paling kerap digunakan,”

Kanak-kanak perempuan berdepan risiko lebih tinggi menjadi mangsa pemerasan seksual dalam masyarakat konservatif, yang boleh menyebabkan mereka dikenakan sekatan pergerakan atau dikeluarkan daripada sekolah.

Bagi Zara, ugutan untuk mendedahkan perkara itu kepada keluarganya sudah cukup untuk membuatkannya terus berdiam diri.

“Saya mungkin dilarang pergi ke sekolah atau keluar dari rumah sama sekali,” katanya.

“Berdiam diri dirasakan sebagai pilihan yang lebih baik daripada bersuara. Tetapi kebimbangan ini menghantui saya setiap hari.”

Lompong perundangan, ‘tiada pelaksanaan’

Dengan UNICEF menganggarkan kira-kira 74 peratus kanak-kanak berusia antara 12 hingga 17 tahun di Pakistan merupakan pengguna internet, kebimbangan mengenai keselamatan dalam talian semakin meningkat susulan akses mereka kepada platform digital yang semakin meluas.

Selaras dengan dasar yang dilaksanakan di beberapa negara lain di seluruh dunia, kerajaan wilayah Punjab bulan ini meluluskan resolusi untuk melarang kanak-kanak berusia bawah 16 tahun menggunakan media sosial.

Bagaimanapun, langkah itu mendapat tentangan.

“Saya tidak bersetuju dengan larangan itu,” kata aktivis hak digital, Usama Khilji.

“Ia akan menjadi satu cabaran untuk dilaksanakan dan kanak-kanak boleh mengelakkan larangan itu menggunakan VPN. Kanak-kanak mempunyai hak terhadap kebebasan bersuara dan larangan itu akan mengambil hak tersebut daripada mereka,” katanya.

Pakistan mempunyai kerangka perundangan bagi menangani kesalahan berkaitan teknologi terhadap kanak-kanak, namun “tiada pelaksanaan”, kata jurucakap pertubuhan bukan berasaskan keuntungan Muslim Hands, Tahira Afrasiyab.

Menurut pakar, terdapat juga lompong dalam undang-undang sedia ada.

Peguam hak asasi manusia, Salman Afridi, berkata isu itu menunjukkan bagaimana “kerentanan ekonomi boleh dieksploitasi” dengan jumlah serendah 10,000 rupee Pakistan (AS$36) sebagai pertukaran untuk menghasilkan kandungan seksual.

“Apa yang kita lihat ialah penggunaan teknologi untuk memudahkan keseluruhan rangkaian proses, daripada memerangkap dan mempengaruhi mangsa, memujuk, memaksa, memeras ugut, menghasilkan, mengedar sehingga mengkomersialkan kandungan,” katanya.

“Terdapat asas kukuh untuk menggambarkan perkara ini sebagai satu ekosistem komersial eksploitasi,” tambah Afridi.

Bagi Zara dan ramai lagi mangsa sepertinya, kesan daripada pertemuan yang bermula ketika bermain permainan dalam talian masih sukar untuk dielakkan.

“Saya takut ketika itu dan masih takut sehingga kini,” katanya. – AFP

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here