KUALA LUMPUR – Seramai 4,812 pelajar huffaz Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berjaya melanjutkan pengajian dan menceburi bidang profesional, termasuk dalam bidang berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pencapaian itu membuktikan usaha memperkasa pendidikan al-Quran di MRSM mampu berjalan seiring dengan kecemerlangan akademik.
Ujarnya, pencapaian berkenaan sekali gus menangkis persepsi bahawa pengajian tahfiz hanya memberi tumpuan kepada hafazan al-Quran tanpa menyediakan laluan kepada kecemerlangan akademik dan kerjaya profesional.
“Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif MARA untuk memperkasakan agenda ‘Memprofesionalkan Huffaz, MengHuffazkan Profesional’,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Dalam pada itu, beliau berkata seramai 368 pelajar MRSM berjaya khatam hafazan 30 juzuk sehingga pertengahan tahun ini.
Tambahnya, MARA kini mempunyai lapan MRSM Ulul Albab yang menyasarkan semua pelajarnya menghafaz 30 juzuk al-Quran.
“Selain lapan MRSM Ulul Albab, MARA sudah mula mengambil inisiatif baharu dengan memperkenalkan konsep Ulul Albab mini atau Tamhidi di seluruh 50 MRSM lain.
“Misinya adalah memastikan sekurang-kurangnya pelajar Muslim di MRSM mampu menghafaz sekurang-kurangnya lima juzuk sebelum tamat Tingkatan Lima,” katanya.-MalaysiaGazette
















