KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan memohon peruntukan RM550.7 juta daripada Kementerian Kewangan bagi melaksanakan enam inisiatif menerusi Belanjawan 2027.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, beliau dijadualkan bertemu Menteri Kewangan esok bagi membincangkan permohonan berkenaan.
“Untuk tahun depan, kita minta RM550.7 juta merangkumi enam inisiatif. Esok saya akan bertemu Menteri Kewangan berhubung perkara ini,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Festival Penceritaan Malaysia 2026 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), di sini, hari ini.
Menurut beliau, enam inisiatif yang dicadangkan ialah Perpaduan dan Identiti Nasional, Keharmonian Komuniti, Ini Warisan Kita, Pendigitalan Khazanah Negara, Naik Taraf Premis Perpaduan serta Geran Padanan membabitkan muzium, arkib dan perpustakaan.
Katanya, inisiatif Perpaduan dan Identiti Nasional antaranya merangkumi GRIP MADANI, Jelajah Belia Rukun Negara, Jalinan Integrasi Nasional, Citra Nusa Muzium, Pameran Muzium, Semarak Advokasi Arkib, Nadi Budaya Ilmu dan Persidangan Perpustakaan Digital.
“Bagi Keharmonian Komuniti pula, antara program yang dicadangkan ialah KRT Progresif dan Mediator Komuniti,” katanya.
Aaron berkata, permohonan Geran Padanan bagi 2027 turut diperluaskan kepada perpustakaan dan arkib selain muzium.
“Kalau tahun ini kita hanya dapat geran padanan untuk muzium sebanyak RM5 juta, untuk tahun depan kita mohon RM5 juta bagi perpustakaan dan RM5 juta bagi arkib juga, tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata, permohonan bagi enam inisiatif itu akan diselaraskan dengan fokus KPN terhadap pembinaan negara bangsa, termasuk kepentingan perkongsian identiti bersama, memperkukuh perpaduan nasional dan keharmonian di Malaysia.
Sementara itu, Aaron berkata, jumlah RM550.7 juta yang dipohon bagi 2027 adalah lebih tinggi berbanding RM136 juta yang diterima KPN bagi lima inisiatif pada 2026.
Katanya, peruntukan inisiatif 2026 itu merangkumi RM55 juta bagi KRT, RM55 juta untuk aktiviti perpaduan, RM1 juta bagi budaya etnik Siam, RM5 juta geran padanan muzium dan RM20 juta bagi naik taraf Tabika Perpaduan.
“Perancangan kita banyak program yang nak diadakan. Sebab itu permohonan kita untuk 2027 lebih tinggi kerana kita sedang mengangkat inisiatif-inisiatif yang menjurus kepada pembinaan negara bangsa,” katanya.
Aaron berkata, selain program perpaduan, permohonan 2027 turut mengambil kira keperluan menaik taraf premis perpaduan, arkib, perpustakaan serta perpustakaan desa, selain usaha pendigitalan khazanah negara melibatkan agensi berkaitan.
Katanya, KPN juga sedang merancang pelbagai inisiatif membabitkan muzium, perpustakaan dan arkib di bawah kementerian. – MalaysiaGazette
















