Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Muzium Malaysia dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan selepas proses penelitian di Jabatan Peguam Negara (AGC) selesai.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, RUU berkenaan telah siap dan kelulusan dasar oleh Jemaah Menteri juga telah diperoleh.

“RUU ini sudah siap dan sekarang menunggu proses di AGC. Insya-Allah tahun depan kita akan bawa ke Parlimen,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan perasmian Festival Penceritaan Malaysia 2026 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), di sini, hari ini.

Menurut beliau, RUU Muzium Malaysia pada peringkat awal akan terpakai kepada tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Katanya, menerusi RUU itu, kerajaan turut bercadang menubuhkan Majlis Muzium Malaysia bagi mengawal selia pengurusan muzium di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan berkenaan.

“Untuk tiga wilayah dahulu, kita akan tubuhkan Majlis Muzium Malaysia. Kemudian, mana-mana negeri yang ingin menyertai di bawah RUU Muzium Malaysia boleh berbuat demikian,” katanya.

Aaron berkata, pendekatan itu mengambil kira bidang kuasa kerajaan negeri yang mempunyai perundangan sendiri berkaitan muzium.

“Kita tidak boleh mengawal negeri kerana negeri mempunyai enakmen sendiri untuk muzium,” katanya.

Beliau berkata, cadangan berkenaan turut mengambil kira kewujudan pelbagai muzium di Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan yang memerlukan penyelarasan serta kawal selia.

Dalam perkembangan berkaitan, Aaron berkata Malaysia mempunyai 232 muzium di seluruh negara, namun hanya 22 daripadanya berada di bawah Kerajaan Persekutuan.

Katanya, kerajaan juga sedang berunding bagi mewujudkan pangkalan data perkongsian maklumat artifak antara muzium di seluruh negara.

“Untuk mewajibkan perkongsian pangkalan data ini agak sukar kerana muzium juga berada di bawah bidang kuasa negeri. Kita masih dalam rundingan dan selepas perkara ini selesai, insya-Allah tahun depan kita akan cuba usahakan satu pangkalan data perkongsian maklumat artifak,” katanya. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here