Seorang pegawai ATM menunjukkan paparan aplikasi MyZULU Health yang boleh diakses menerusi telefon bimbit.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini beralih kepada digital menerusi sistem rekod perubatan bersepadu dan aplikasi mudah alih selaras dengan kemajuan teknologi.

Ia bagi memperkemas dan memudahkan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada anggota tentera.

Inisiatif itu merangkumi pelaksanaan aplikasi mudah alih MyZULU Health bersama Fasa 2 Centralised Medical Repository System (CENTROMERES).

Aplikasi berkenaan dilancarkan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-93 di Pangkalan TLDM Lumut pada Sabtu lalu.

Malek Razak bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh semasa melancarkan aplikasi MyZULU Health di Lumut.

Aplikasi tersebut dibangunkan syarikat teknologi pertahanan tempatan, Mindmatics Sdn. Bhd. (Mindmatic) yang juga merupakan pendahulu dalam bidang keselamatan siber.

MyZULU Health membolehkan pengguna mengurus janji temu, memantau petunjuk kesihatan dan melengkapkan borang secara digital.

Pengurus Projek Kanan Mindmatics, Azman Ahmad berkata, aplikasi berkenaan boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store.

Menurutnya, Mindmatics turut melaksanakan Fasa 2 Centralised Medical Repository System (CENTROMERES) bagi menyediakan Sistem Maklumat Kesihatan (HIS) di lima hospital tentera seluruh negara.

Ia melibatkan Hospital Tuanku Mizan Kuala Lumpur, Hospital Angkatan Tentera (HAT) Ke-94 Terendak, HAT Ke-96 Lumut, HAT Wilayah Kota Kinabalu dan Hospital Tentera Gemas.

Katanya, CENTROMERES menjadi rangkaian kesihatan elektronik teras ATM, dengan Fasa 1 membangunkan Military Lifetime Health Record (MLHR) di 116 lokasi kesihatan.

“Fasa 2 pula mengintegrasikan HIS dengan MyZULU Health bersama Rekod Perubatan Elektronik (EMR), Computerised Physician Order Entry (CPOE), Sistem Maklumat Makmal (LIS), Sistem Maklumat Farmasi (PIS), Radiologi/PACS serta logistik rantaian bekalan perubatan secara automatik,” katanya.

Sistem berkenaan turut disokong infrastruktur SD-WAN dan diintegrasikan dengan pangkalan data nasional termasuk MyHDW/SMRP serta HRMIS Angkatan Tentera.

Azman berkata, HIS yang dilaksanakan dalam tempoh dua tahun itu selaras Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera 2017–2050 serta menggantikan aliran kerja berasaskan kertas kepada sistem digital menyeluruh.

Jelas Azman lagi, bagi pihak Mindmatic, kejayaan ini dicapai apabila aplikasi tersebut berjaya dibangun dan disiapkan, teruji dan menepati piawaian ketenteraan, dibangunkan oleh kepakaran tempatan sepenuhnya dan mempunyai fungsi AI tersedia. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here