Gambar hiasan

APABILA sesebuah universiti melonjak dalam ranking dunia, ia wajar diraikan. Kedudukan yang lebih baik meningkatkan keterlihatan antarabangsa, memperkukuh reputasi, menarik bakat akademik dan pelajar berkualiti, membuka lebih banyak kerjasama global serta meningkatkan keyakinan pemegang taruh.

Sebab itu, universiti di Malaysia tidak perlu apologetik untuk mengejar ranking. Kita perlu bersaing. Kita perlu meningkatkan penerbitan berkualiti, impak sitasi, geran kompetitif, inovasi, jaringan antarabangsa dan kebolehpasaran graduan. Semua ini merupakan sebahagian daripada ukuran kecemerlangan universiti moden.

Namun, ranking tinggi sahaja belum cukup. Persoalan yang lebih besar ialah apakah pencapaian yang membawa kepada ranking dan pengiktirafan itu benar-benar sahih, berkualiti dan boleh dibuktikan? Di sinilah integriti akademik menjadi penentu. Ranking menunjukkan sejauh mana universiti dilihat berjaya. Integriti menentukan sejauh mana kejayaan itu boleh dipercayai.

Kejar ranking tetapi pastikan pencapaiannya tulen

Dalam persaingan pendidikan tinggi global, sasaran dan KPI mempunyai fungsi yang penting. Ia mendorong universiti bergerak lebih pantas, meningkatkan produktiviti dan mengukur pencapaian secara sistematik.

Masalah hanya timbul apabila angka menjadi lebih penting daripada makna di sebalik angka tersebut. Jumlah penerbitan, sitasi, geran, kolaborasi dan pelbagai bentuk pengiktirafan tidak seharusnya dinilai berdasarkan kuantiti semata-mata.

Setiap pencapaian yang dipromosikan oleh universiti perlu mempunyai asas yang kukuh: data yang tepat, sumber yang boleh disahkan, proses yang telus dan pengiktirafan yang benar-benar diperoleh melalui merit. Jika universiti mahu diraikan kerana kecemerlangannya, masyarakat juga berhak mengetahui bahawa kecemerlangan itu mempunyai bukti.

Logo Universiti Kebangsaan Malaysia

Pengiktirafan mesti datang bersama bukti

Universiti mempunyai tanggungjawab besar apabila memberikan pengiktirafan kepada ahli akademik, penyelidik, pusat kecemerlangan atau mana-mana pencapaian institusi.

Pengiktirafan bukan sekadar alat komunikasi atau publisiti; ia membawanama dan kredibiliti universiti. Sebab itu, pengiktirafan perlu berasaskan pencapaian sebenar yang boleh diverifikasi. Populariti, persepsi atau tuntutan yang sukar disahkan tidak seharusnya menggantikan bukti.

Dalam dunia akademik, kredibiliti dibina melalui rekod yang boleh diperiksa penyelidikan yang sahih, penerbitan yang bertanggungjawab, data yang tepat, sumbangan yang jelas dan proses penilaian yang berintegriti.

Integriti bukan penghalang kecemerlangan

Ada kemungkinan integriti dilihat sebagai lapisan pematuhan yang memperlahankan proses. Hakikatnya, integriti bukan penghalang kepada kecemerlangan. Integriti ialah mekanisme yang memastikan kecemerlangan itu tulen dan dapat dipertahankan. Integriti akademik merangkumi kejujuran dalam penyelidikan, penulisan, penerbitan, pengajaran, pentaksiran dan penyeliaan.

Plagiarisme, fabrikasi atau manipulasi data, authorship yang tidak wajar, konflik kepentingan yang tidak diisytiharkan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara tidak beretika boleh menjejaskan kredibiliti individu dan institusi.

Universiti yang benar-benar yakin dengan pencapaiannya tidak perlu takut kepada semakan, verifikasi atau ketelusan. Sebaliknya, proses tersebut mengukuhkan legitimasi pencapaian yang telah diperoleh.

Kuantiti dan kualiti perlu bergerak bersama

Universiti tidak boleh memilih antara produktiviti dan kualiti. Kedua-duanya diperlukan. Dalam sistem global yang kompetitif, kita memerlukan lebih banyak penyelidikan, penerbitan, inovasi dan kolaborasi – tetapi peningkatan kuantiti mestilah disertai peningkatan kualiti.

Seratus penerbitan tidak semestinya lebih bernilai daripada penyelidikan yang benar-benar mengubah pemikiran dalam sesuatu bidang, mempengaruhi dasar, menyelesaikan masalah industri atau memberi manfaat nyata kepada masyarakat. Begitu juga sitasi dan geran. Angka penting kerana ia memberikan ukuran.

Tetapi angka perlu dibaca bersama kualiti, ketulenan dan impaknya. Justeru, aspirasi universiti seharusnya bukan quantity over quality, tetapi quality with quantity.

AI menjadikan isu integriti lebih mendesak

Kemunculan AI generatif membuka peluang besar kepada universiti. AI boleh membantu pencarian maklumat, analisis, pembelajaran, penulisan dan produktiviti penyelidikan. Universiti tidak seharusnya melihat teknologi ini semata-mata sebagai ancaman.

Namun, AI juga menjadikan sempadan antara bantuan teknologi dan ketidakjujuran intelektual semakin kompleks. Esei, laporan, analisis malah manuskrip akademik kini boleh dihasilkan dalam masa yang sangat singkat.

Persoalannya bukan lagi sama ada AI boleh dihalang sepenuhnya. Persoalannya ialah bagaimana universiti memastikan AI digunakan untuk meningkatkan pemikiran manusia, bukan menggantikan tanggungjawab intelektual manusia. Dalam era AI, integriti tidak menjadi kurang penting. Sebaliknya, ia menjadi semakin penting.

Para graduan universiti yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi ketika tinjauan sempena Belanjawan 2025 sektor pendidikan di Universiti Putra Malaysia, Serdang. Foto MOHD ADZLAN, 18 OKTOBER 2024..

Reputasi tidak boleh dibina dengan komunikasi semata-mata

Dalam era media sosial, kontroversi akademik boleh bergerak merentasi sempadan dalam beberapa jam. Reputasi yang dibina selama puluhan tahun boleh dipersoalkan dengan cepat apabila masyarakat mula meragui ketulenan sesuatu pencapaian.

Komunikasi korporat yang baik penting untuk menjelaskan pencapaian universiti, membina hubungan dengan pemegang taruh dan mengurus krisis. Tetapi komunikasi tidak boleh menggantikan tadbir urus yang baik.

Strategi reputasi yang paling kukuh ialah apabila apa yang dikatakan universiti selari dengan apa yang dilakukan – dan kedua-duanya boleh dibuktikan dengan fakta. Ranking boleh memberikan visibility. Tetapi hanya kredibiliti mampu mengekalkan reputasi.

Ranking dan integriti mesti saling menguatkan

Malaysia mempunyai universiti yang berpotensi untuk terus meningkat dalam persaingan global. Aspirasi untuk berada lebih tinggi dalam ranking dunia perlu diteruskan. Malah, kita perlu lebih berani meningkatkan sasaran dan membina ekosistem akademik yang benar-benar kompetitif.Tetapi universiti bertaraf dunia tidak dibina dengan angka semata-mata. Ia dibina apabila angka tersebut mewakili pencapaian sebenar.

Tetapi universiti bertaraf dunia tidak dibina dengan angka semata-mata. Ia dibina apabila angka tersebut mewakili pencapaian sebenar. Kita tidak perlu memilih antara ranking dan integriti. Kita memerlukan kedua-duanya. Ranking membantu dunia melihat kecemerlangan universiti.

Integriti memastikan dunia mempercayai kecemerlangan tersebut. Akhirnya, ranking tinggi memang penting – tetapi ranking yang disokong oleh bukti, merit dan integriti jauh lebih bernilai.

Universiti terbaik bukan sekadar universiti yang berjaya naik dalam ranking dunia. Universiti terbaik ialah universiti yang benar-benar layak berada di kedudukan tersebut  dan mampu mempertahankannya dengan integriti. – MalaysiaGazette

Zulhamri Abdullah.

Penulis ialah ahli akademik dalam bidang komunikasi korporat dan pengurusan reputasi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here