[Gambar fail] Suasana matahari terbenam sekitar bandar di Pattani, Thailand. foto HAZROL ZAINAL, 07 JANUARI 2020.

KETIKA Malaysia sedang menyambut bulan kemerdekaan, berlaku serangan pada 23 Ogos yang terjadi di sempadan Thailand-Malaysia.

Lima insiden serentak melibatkan 6 bom yang meledak, 22 kes pembakaran, tembakan rambang dan kerosakan harta benda di bangunan-bangunan rasmi kerajaan Thai.

Insiden di selatan Thailand ini turut tertumpu di daerah majoriti Melayu Narathiwat, Yala dan Pattani yang meletus di dalam satu malam. Lebih menghairankan, tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab di atas serangan besar-besaran tersebut.

Keadaan letupan bom sebenarnya adalah insiden biasa bagi penduduk Melayu di selatan Thai.

Pengeboman sebelum ini hanya bersifat sporadik dan hanya melibatkan serangan terhadap logistik ketenteraan Thailand di ketiga-tiga wilayah-wilayah selatan Thai tersebut.

Kali ini ianya lebih bersifat terancang, di pelbagai tempat dan tidak mempunyai angka korban yang tinggi.

Serangan kali ini sebenarnya adalah rentetan konflik yang masih berpanjangan semenjak lebih 100 tahun yang lalu.

Sejarah Konflik di Selatan Thai

Sejak Kerajaan Siam menakluk Kerajaan Melayu Patani pada tahun 1785, ianya telah bertukar status menjadi tanah jajahan. Namun begitu Kesultanan Melayu Patani mempunyai autonomi dan kerajaan sendiri.

Namun Kerajaan Siam Thai telah mengilhakan Patani melalui Perjanjian Anglo-Siam pada tahun 1909.

Melalui perjanjian tersebut, British menyerahkan wilayah Selatan Thai, Narathiwat, Yala dan Pattani di utara Kelantan berserta Satun di utara Perlis.

Siam pula menyerahkan Perlis, Kedah, Terengganu & Kelantan kepada bidang kuasa jajahan British.

Rakyat Patani telah mula menuntut autonomi dan ingin berunding dengan Kerajaan Siam pada tahun 1940-an melalui seorang ulama bernama Haji Sulong.

Namun hal ini dianggap ancaman kepada Kerajaan Siam. Beliau telah ditangkap dan kemudian hilang tanpa jejak.

Perjuangan diteruskan oleh Tengku Mahmood Mahyidden, putera terakhir Raja Patani.

Perjuangan beliau melalui Task Force dan UMNO, menuntut kemerdekaan daripada British agar  Patani juga menjadi negeri sebahagian daripada Malaysia tidak berhasil. Janji tersebut telah dimungkiri British.

Siapa Dalang?

Rundingan damai yang diketuai Barisan Revolusi Nasional (BRN) telah dimulakan pada tahun 2013.

Namun sejak tahun 2013, rundingan tersebut tidak berhasil memberikan kata putus.

Antara tuntutan kumpulan pejuang adalah hak beragama Islam: termasuklah menggunakan sistem mahkamah undang-undang Islam, mengamalkan adat budaya dan bahasa Melayu dalam urusan rasmi serta pemerintahan menguruskan hal-ehwal negeri yang dilantik dan diuruskan oleh Melayu Patani.

Namun keadaan politik Thailand yang tidak stabil tidak memungkinkan rundingan ini berjalan dengan lancar.

Apabila tiba waktu pilihanraya Thailand, jika parti yang bukan pro-Istana menang pasti mereka akan digulingkan oleh tentera Thailand, proses damai juga secara automatik terbantut atau perlahan.

Persamaan kes Patani terjadi juga di Aceh dan Mindanao. Apabila terjadi satu serangan, hal ini kebiasaannya diakui oleh satu kumpulan yang bertanggungjawab.

Bezanya serangan baru-baru ini tidak diakui oleh mana-mana kumpulan – sama ada BRN (Barisan Revolusi Nasional), PULO (Patani United Liberation Front), BIPP (Barisan Islam Pembebasan Patani) mahupun GMIP (Gerakan Mujahidin Islam Patani).

Menurut sumber akhbar the Star, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat daripada Askar Thailand bahawa dalang di sebalik serangan ini adalah daripada BRN.

Menurut PBS Thai World, penasihat Kerajaan Thai, Wan Noor Matha juga mengakui hal yang sama. Namun, hal ini tidaklah boleh disandarkan kepada sesuatu kumpulan kerana mungkin ini adalah rancangan yang bersifat inisiatif persendirian.

Kumpulan-kumpulan pembebasan ini tidak mempunyai struktur organisasi yang jelas kerana bergerak dalam sel-sel yang mempunyai kebebasan sendiri.

Sebelum kejadian ini berlaku, rundingan damai di antara Kerajaan Thai dan BRN selaku wakil dijadualkan pada bulan Oktober.

Namun Kerajaan Thai telah membekukan rundingan tersebut yang dijadulkan di Malaysia pada bulan September akibat serangan yang meragut nyawa 5 askar Thai.

Menurut akhbar The Nation Thailand, Thanut Suvarnanda, ketua rundingan juga selaku Pengarah Risikan Thailand dijadualkan untuk bersara pada 30 September ini.

Apakah ini satu gertakan daripada kumpulan pembebasan agar rundingan ini diambil serius oleh Kerajaan Thai dan Kerajaan Malaysia?

Menurut akhbar Sinar Harian, Datuk Mohd Rabin Basir yang merupakan fasilitator Malaysia semenjak 2024 telah digantikan kepada satu nama yang belum diumumkan menurut Menteri Luar, Datuk Mohamad Hasan.

Tuntutan Autonomi Sebagai Jalan Damai

Biarpun tuntutan setiap kumpulan pembebasan Patani berbeza-beza mengikut ideologi dan strategi.

Mereka ketika ini tidak mempunyai masalah untuk BRN menuntut autonomi atau kerajaan pemerintahan sendiri sebagai salah satu penyelesaian kepada konflik di selatan Thai.

Berkemungkinan jika perkara ini tidak diperjuangkan BRN, kumpulan-kumpulan lain akan mengambil pendekatan yang lebih ekstrim.

Dialog Keamanan Kerajaan Thailand (PEDP/RTG) terbuka untuk dialog, namun bertegas bahawa ia mestilah dalam kerangka undang-undang dan perlembagaan Thailand.

Namun begitu, Thailand juga harus mempertimbangkan undang-undang hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa yang menjadi neraca dan norma masyarakat dunia tentang keadilan untuk setiap kaum dan agama.

Berbeza dengan rakyat minoriti Thai yang lain, rakyat Patani adalah penduduk asal Melayu dan beragama Islam. Selagi Kerajaan Thai tidak mengubah cara fikir, konflik ini akan masih berpanjangan.

Hal ini terjadi kepada  Bangsamoro yang bersuku Meranao, Tausug dan Maguindanao. Yang terletak di Selatan Filipina. Filipina didominasi kaum Tagalog dan beragama Kristian.

Di Aceh, meskipun mereka beragama Islam sama seperti majoriti rakyat Indonesia yang lain, mereka adalah kaum Aceh yang mempunyai bahasa dan adat yang berbeza.

Masyarakat yang masih berpegang dengan adat dan agama Islam itu masih konservatif berbanding daerah kepulauan Indonesia yang lain. Kedua-dua kes di sini telah melalui proses konflik yang panjang.

Bangsamoro dan Aceh berjaya mendapatkan autonomi melalui cara rundingan damai dengan kerajaan pusat. Kedua-dua kes ini berjaya mencapai keamanan dibantu negara-negara Eropah dan Malaysia sebagai pemerhati dan orang tengah.

Kepentingan Malaysia di Sempadan

Masalah yang berlaku di sempadan negara kita iaitu Sungai Golok di Kelantan dan Bukit Kayu Hitam di Kedah terkait rapat dengan isu ini.

Penyeludupan barang haram dan pemerdagangan manusia boleh dikawal jika konflik ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Keterikatan identiti dan hubungan rapat Melayu Patani terhadap Kelantan dan Terengganu juga mempengaruhi pemikiran ideologi mereka satu sama lain.

Diharapkan Malaysia dapat memainkan peranan Fasilitator yang baik iaitu tidak cenderung kepada Bangkok mahupun kumpulan pemisah.

Apa yang diperlukan adalah tempat yang neutral, ketua fasilitator yang dapat memberikan komitmen serta pusat penyelesaian kepada pertikaian dan salah faham antara Kerajaan Thai dan Gerakan Pemisah.

Apakah reaksi terbaik bagi menyelesaikan masalah ini? Solusi jangka masa pendek adalah mendapatkan respon dan jurucakap yang boleh mewakili Gerakan Pemisah secara absah.

Pada masa yang sama, Kerajaan Thai harus mempertimbangkan cadangan autonomi yang telah terbukti berhasil di Aceh, Indonesia dan di Mindanao di Selatan Filipina.

Kelengahan sebagai satu taktik oleh Kerajaan Thai, ketidaksatuan suara rakyat Melayu Patani serta ketidakcekapan Malaysia dalam mendamaikan kedua-dua pihak ini akan menyebabkan keadaan yang lebih memburuk.

Sama ada fasilitator baru yang dilantik kerajaan Malaysia serta usaha sama Wisma Putera mampu menyelesaikan konflik di sempadan Thailand-Malaysia; adalah tanggungjawab berat namun berisi harapan.

Auzaie SM

Pegawai Penyelidik Geopolitik Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)

-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here