Oleh: Dr. Khairul Hafezad Abdullah
SETIAP kali Hari Malaysia diraikan, kita kembali mengingati perjalanan sebuah negara yang dibina bersama. Kita bercakap tentang perpaduan, pembangunan dan masa depan Malaysia. Namun, di sebalik cerita tentang kemajuan negara, ada satu kelompok yang sebenarnya menggerakkan Malaysia setiap hari. Mereka ialah golongan pekerja.
Ada yang memulakan syif ketika kita masih tidur. Ada yang berdiri berjam-jam di barisan pengeluaran, bekerja di bawah panas matahari, mengendalikan mesin, bahan kimia dan elektrik. Ada yang menjaga pesakit, memandu beratus kilometer, bekerja di makmal, ladang, pelabuhan, sekolah dan pejabat.
Mereka mungkin berada di Perlis, Johor, Sabah atau Sarawak. Pekerjaan mereka berbeza, tetapi kebanyakannya keluar dari rumah dengan tujuan yang sama, mencari rezeki dan pulang kepada keluarga. Justeru, apabila berbicara mengenai Malaysia yang maju, saya fikir ada satu persoalan yang jarang kita tanyakan.
Adakah mereka yang membangunkan negara ini pulang dengan selamat setiap hari? Dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kita sering berhadapan dengan kecenderungan untuk mencari siapa yang salah apabila sesuatu berlaku. Pekerja tidak memakai peralatan perlindungan diri. Pekerja tidak mengikut prosedur. Pekerja mengambil jalan pintas. Pekerja cuai.
Mungkin benar pekerja melakukan kesilapan. Namun bagi saya, mengetahui siapa yang melakukan kesilapan belum tentu menjelaskan mengapa kesilapan itu berlaku. Bayangkan seorang pekerja yang sudah lebih 20 tahun melakukan tugas yang sama. Dia berpengalaman, tahu prosedur dan memahami bahayanya. Rekod kerjanya baik. Suatu hari, dia mengambil jalan pintas kerana kerja itu “sekejap sahaja”.
Adakah dia cuai? Mungkin.
Tetapi saya lebih tertarik untuk bertanya, mengapa seorang pekerja yang tahu tentang risiko masih memilih untuk mengambil risiko?
Ada yang mahu menyiapkan kerja dengan cepat. Ada yang terlalu yakin dengan pengalaman. Ada yang keletihan. Ada yang mengejar sasaran pengeluaran. Ada juga yang sudah terlalu biasa melakukan sesuatu dengan cara yang sama. Kita mungkin pernah mendengar ungkapan, “Saya dah lama buat macam ini, tak pernah jadi apa pun”. Ayat itu nampak macam biasa, tetapi dalam pengurusan keselamatan, ia sepatutnya membuatkan kita berfikir.
Apabila tindakan berisiko dilakukan berulang kali tanpa kemalangan, manusia sebenarnya mula menganggap sebagai perkara biasa. Dalam bidang keselamatan, keadaan ini sering dikaitkan dengan normalisation of deviance (normalisasi amalan yang menyimpang), apabila penyimpangan daripada amalan yang sepatutnya perlahan-lahan diterima sebagai kebiasaan. Tiada apa berlaku semalam. Tiada apa berlaku minggu lepas. Lama-kelamaan, kita sudah mula percaya bahawa cara itu selamat.
Hakikatnya, kita perlu sedar bahawa tidak berlaku kemalangan bukan bermaksud bahaya sudah tiada. Kadangkala kita cuma bernasib baik. Namun, pengalaman juga boleh menjadi perangkap. Semakin lama seseorang bekerja, semakin banyak pengetahuan dan kemahiran yang dimilikinya.
Tetapi pengalaman yang panjang juga boleh membuatkan seseorang terlalu yakin bahawa risiko masih berada dalam kawalannya. “Saya sudah 30 tahun buat kerja ini”. Benar, pengalaman itu sangat berharga. Tetapi bahaya tidak mengenali senioriti.
Sebab itu saya melihat keselamatan bukan semata-mata persoalan berkaitan pekerja. Kita juga perlu melihat sistem tempat mereka bekerja. Organisasi boleh memasang slogan “Utamakan Keselamatan” atau “Keselamatan adalah Tanggungjawab Bersama” di pintu masuk. Prosedur boleh disusun dengan cantik. Latihan boleh dijalankan setiap tahun.
Tetapi budaya keselamatan sebenar tidak berada pada poster atau elemen grafik yang lain. Ia terserlah apabila keselamatan bertembung dengan produktiviti. Apa berlaku apabila seorang pekerja menghentikan kerja kerana merasakan keadaan tidak selamat? Adakah penyelia berkata, “Baik, kita periksa dahulu” atau bertanya, “Kenapa lambat sangat ni?”.
Jika pekerja diberitahu bahawa keselamatan ialah keutamaan tetapi pada masa sama sentiasa ditekan untuk bekerja lebih cepat, mereka akhirnya memahami mesej yang sebenar. Di atas kertas, keselamatan mungkin diletakkan sebagai nombor satu. Dalam realiti semasa bekerja, mungkin pengeluaran yang lebih utama.
Sebab itu saya kurang selesa apabila penyiasatan sesuatu insiden berakhir dengan ayat, “Pekerja gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP)”. Itu mungkin benar, tetapi bagi saya, di situlah penyiasatan sepatutnya bermula, bukan berakhir.
Mengapa SOP tidak dipatuhi? Adakah prosedur itu praktikal? Adakah peralatan tersedia? Adakah pekerja diberikan masa yang cukup? Adakah mereka terlalu letih? Adakah penyelia mengetahui bahawa jalan pintas sebenarnya telah lama diamalkan? Dan yang lebih penting, adakah pekerja lain turut melakukan perkara yang sama?
Jika seorang pekerja melakukan kesilapan, kita perlu melihat tindakannya. Tetapi apabila ramai pekerja melakukan kesilapan yang sama dan berulang, maka kita perlu berani melihat sesuatu yang lebih besar. Mungkin masalahnya bukan lagi sekadar persoalan atau elemen manusia. Mungkin sistem kerja itu sendiri perlu diperbaiki.
Dalam semangat Hari Malaysia, persoalan ini wajar kita fikirkan bersama. Malaysia tidak dibina oleh bangunan, lebuh raya, kilang atau angka ekonomi semata-mata. Di sebalik semua itu, ada manusia yang bekerja dan memastikan negara ini terus bergerak. Mereka ialah operator, juruteknik, pekerja pembinaan, pemandu, jururawat, pekerja makmal, pekerja ladang, guru dan ribuan lagi yang menyumbang kepada pembangunan negara. Mereka bukan sekadar “tenaga kerja”. Mereka ialah ibu, bapa, anak, suami, isteri dan anggota masyarakat.
Sebab itu keselamatan pekerjaan bagi saya akhirnya bukan sekadar persoalan kasut keselamatan, SOP atau audit. Ia persoalan bagaimana kita menghargai manusia. Hari Malaysia mengingatkan kita bahawa kemajuan tidak hanya harus dilihat pada apa yang berjaya kita bina, tetapi juga pada bagaimana kita menjaga manusia yang membinanya. Pekerja keluar dari rumah untuk mencari rezeki, membina kehidupan dan menyumbang kepada negara. Maka, ukuran tempat kerja yang baik bukan sekadar berapa banyak yang mampu dihasilkan dalam sehari.
Ukuran yang lebih manusiawi ialah berapa ramai yang dapat pulang kepada keluarga dalam keadaan selamat setelah selesai bekerja. Barangkali di situlah kita perlu meletakkan semula makna produktiviti. Produktiviti yang mengorbankan keselamatan bukanlah kemajuan yang patut kita banggakan.
Malaysia memerlukan pekerja yang produktif. Tetapi lebih daripada itu, Malaysia memerlukan pekerja yang dapat pulang dengan selamat.
Penulis adalah Pensyarah Kanan dalam bidang Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia.
















