PETALING JAYA – Bersatu tidak akan bergerak secara solo pada pilihan raya akan datang sebaliknya memilih untuk membentuk kerjasama dengan parti lain yang menghormati prinsip perjuangannya.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bersetuju Bersatu bergerak sendirian dan menegaskan parti itu perlu berada dalam satu gabungan politik.
“Kalau tanya saya jawapannya, ya. Saya tak setuju dengan pandangan bahawa kita harus pergi solo. Kita mesti berada dalam sebuah gabungan parti,” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-10 Bersatu di sini malam ini.
Muhyiddin berkata, Bersatu sudah mengadakan rundingan awal dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk merintis kerjasama pilihan raya, selain menerima isyarat keterbukaan daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
“Beberapa perbincangan telah pun diadakan dan nampaknya respons kedua-dua pihak untuk membentuk suatu gabungan ini adalah amat positif. Insya-Allah, kita akan teruskan untuk kerjasama yang akan diperincikan dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, Bersatu turut terbuka bekerjasama dengan parti lain yang menghormati prinsip asas perjuangan parti, termasuk mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera, kesucian agama Islam serta hak sah semua kaum.
“Sebagai sebuah parti perjuangan, Bersatu tidak akan sekali-kali menggadaikan prinsip perjuangannya semata-mata untuk mendapatkan laba dan kuasa,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beberapa pihak kini mula mendekati parti itu bagi menjalin kerjasama menghadapi PRU-16.
“Kita dapat melihat bagaimana ada pihak yang mula menggamit-gamit kita. Ada yang menghulurkan tangan, menyampaikan salam dan melemparkan senyuman kepada kita,” katanya.
Mohamed Azmin berkata, Bersatu akan menilai setiap bentuk kerjasama berdasarkan prinsip serta kepentingan parti bagi memastikan kelangsungan perjuangannya.
Menurutnya, Bersatu kini perlu menilai setiap bentuk kerjasama dengan mengambil kira prinsip serta kepentingan parti bagi memastikan kelangsungan perjuangan.
Beliau berkata, Bersatu perlu terus memperkukuh kekuatan dalaman dan pada masa sama terbuka kepada usaha membentuk kerjasama politik yang mampu membawa parti menghadapi PRU-16. – MalaysiaGazette
















