JOHOR BAHRU – Pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak memberi ‘bola tanggung’ kepada Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ia boleh dilihat hanya sehari selepas pengampunan itu diberikan, jelas kelihatan keputusan berkenaan sudah memudaratkan UMNO dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung tidak lama lagi adalah satu medan tempur yang kecil. Medan perang besar ialah pilihan raya umum yang perlu diadakan sebelum Februari 2028.
“Sekarang UMNO-BN sudah mula berada dalam keadaan defensif. Di media sosial, rakyat sudah mula bertanya; bila UMNO mahu lancarkan tabung pulihkan kerugian 1MDB,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat ditetapkan.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Menurut Hassan, sejarah Najib memimpin UMNO bukan sejarah gilang-gemilang membawa kemenangan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya.
Katanya, pada PRU-13, UMNO-BN hampir kehilangan kerajaan Persekutuan, selain buat pertama kali Najib memimpin UMNO-BN dalam pilihan raya umum sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN.
“Bukan sahaja BN hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, tetapi angka data SPR menunjukkan jumlah undi popular rakyat kepada Pakatan Rakyat mengatasi BN walaupun BN menjadi kerajaan Persekutuan.
“Itu tanda-tanda awal kejatuhan Najib Razak, UMNO dan BN. Apabila sampai PRU-14 pada tahun 2018, Najib Razak sebagai Perdana Menteri ditolak rakyat.
“Rakyat hanya perlu dua isu sahaja untuk menjatuhkan kerajaan BN pimpinan Najib Razak, iaitu isu cukai GST dan isu rasuah 1MDB,” ujarnya.
Beliau berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dua tokoh pimpinan UMNO yang keluar atau dipecat daripada parti ketika era Najib kemudian bergabung dengan PH pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Gabungan besar ini telah dapat menyatukan rakyat Melayu dan bukan Melayu untuk menolak skandal 1MDB Najib Razak. Sekarang pengampunan bersyarat Najib Razak telah mengubah landskap politik Malaysia.
“PH sekarang mendapat bola tanggung daripada pengampunan Najib,” katanya.
Tambah beliau, sebelum Najib diberikan pengampunan, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri, Presiden PKR dan Pengerusi PH berada dalam keadaan defensif serta dikritik secara terbuka dan di media sosial.
“Beliau dikritik secara terbuka dan juga dalam media sosial tidak henti-henti setiap hari. Kini keadaan sudah berubah angin. Sekarang apabila Najib diberi pengampunan dan lega hukum, tiba-tiba simpati kepadanya kerana merengkok dalam penjara meruap dan lesap.
“Rakyat mulai marah apabila melihat sistem keadilan negara ini ada dua darjat. Satu untuk rakyat biasa golongan marhaen dan satu lagi untuk elit politik daripada kelas bangsawan,” katanya.
Hassan mendakwa, pada hari kedua Najib menerima pengampunan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kembali kepada status co-pilot kepada UMNO.
“De facto pemimpin UMNO sekarang bukan lagi Ahmad Zahid Hamidi tetapi Najib Razak. Sekarang rakyat Malaysia daripada semua kaum, budaya dan agama dari Semenanjung dan Sabah serta Sarawak sudah dapat melihat dua wajah pemimpin mereka iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Najib Razak, pemimpin UMNO yang baru keluar dari penjara untuk tahanan seterusnya di rumah.
“Penilaian kini di tangan rakyat sendiri. Mana satu antara kedua mereka yang boleh membawa Malaysia ke arah yang lebih baik?” soalnya.
Menurutnya, pada PRU-15, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bergabung dalam Perikatan Nasional (PN) dengan membawa naratif PN yang bersih dan amanah.
“Jadi kini bagaimana Pas dan UMNO boleh membawa naratif yang sama, bersih dan amanah dengan kehadiran Najib Razak yang disabitkan bersalah dalam kes SRC International.
“Juga sekali lagi disabitkan bersalah atas tuduhan salah guna kuasa dan pelupusan wang haram melibatkan lebih RM2 bilion berkait 1MDB.
“Untuk kes ini, Najib Razak dijatuhi hukuman 15 tahun penjara dan denda RM11.38 bilion. Keputusan mahkamah ini sedang dirayu oleh Najib Razak,” katanya.
Hassan berkata, daripada segi politik, Najib kini betul-betul menjadi beban kepada UMNO dan juga Pas.
“Tidak ada beban, batu digalas. Bagaimana UMNO dan Pas sekarang hendak bercakap mengenai kerajaan yang bersih dan amanah, yang telus, cekap dan adil apabila kini Najib telah muncul di hadapan mata rakyat sebagai satu simbol yang mencurigakan bagi sebuah kerajaan yang dikatakan ‘the government in waiting’,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















