Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Ketua Menteri Melaka, uDatk Seri Ab Rauf Yusoh menerima pandangan sesiapa sahaja yang mahu mengulas mengenai keadaan politik Melaka menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) susulan perkembangan pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, ia bergantung kepada kebijaksanaan dan pemikiran masing-masing untuk membuat sebarang penilaian atau andaian.

“Saya tak nak komen lebih daripada itu tapi apa pun Melaka ini adalah merupakan satu tumpuan baru politik setelah beberapa perkembangan baru dalam politik ini berubah.

“Jadi, siapa juga nak mengukur kedudukan politik masa depan negara berdasarkan daripada keadaan politik di Melaka, itu terserah kepada kebijaksanaan dan pemikiran masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Laga Badai Selat Melaka Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara Sempena Program Pesta Pantai Tanjung Bidara 2026 dan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Tanjung Bidara di sini hari ini

Ab Rauf diminta mengulas kenyataan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menyifatkan PRN Melaka sebagai ‘titik data utama pertama’ untuk melihat reaksi politik dan awam terhadap perkembangan membabitkan Najib.

Khairy sebelum itu berkata, PRN Melaka bakal menjadi penanda aras awal untuk melihat tindak balas landskap politik tanah air terhadap pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib.

Ia selepas keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat termasuk pembayaran denda RM50 juta.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara berkata, tumpuan beliau ketika ini adalah untuk menerajui negeri dan memastikan pembangunan Melaka terus diberi keutamaan.

“Kerana saya memikirkan bahawa menerajui Melaka, saya menerajui rakyat Melaka yang saya sayangi untuk terus membangunkan Melaka bersama saya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here