MELAKA – Ribuan pengunjung membanjiri Pesta Pantai Tanjung Bidara bukan sahaja memeriahkan edisi ketiga penganjurannya, malah membawa limpahan rezeki kepada peniaga kecil apabila gerai makanan, minuman dan kraftangan menjadi tumpuan.
Sambutan yang diterima begitu menggalakkan sehingga ada peniaga berharap pesta berkenaan dapat dianjurkan lebih kerap.
“Kalau boleh buat dua kali sebulan,” kata peniaga makanan, Nor Fadilah Jaafar, 45, yang tidak menang tangan melayan pelanggan di gerainya.
Menurutnya, pelbagai acara yang dianjurkan sepanjang pesta itu menyebabkan pengunjung tidak putus-putus datang, sekali gus membuka peluang kepada peniaga meningkatkan pendapatan.

“Apa yang dilaksanakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan mengadakan pesta pantai ini memang bagus untuk golongan peniaga menambah pendapatan.
“Kalau boleh Datuk Seri Ab Rauf buat dua kali sebulan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.
Bagi pengusaha kraftangan, Norhatini Abu Hashim, 58, pesta berkenaan menjadi platform untuk memperkenalkan produknya kepada pasaran lebih luas.

Katanya, kehadiran pengunjung yang ramai memberi peluang kepada pengusaha kecil mempromosikan produk secara terus kepada pengguna.
“Apabila ada pesta seperti ini, ia amat bagus kepada peniaga kecil untuk memperkenalkan produk masing-masing.
“Kami berebut-rebut mengisi borang untuk mendapatkan tapak niaga di pesta pantai ini,” katanya.
Peluang peniaga muda cari pengalaman
Peniaga aiskrim, Muhammad Helmi Nor Ikhsan, 25, turut tidak melepaskan peluang mendapatkan tapak perniagaan di pesta berkenaan.

Menurutnya, sambutan pengunjung menjadikan Pesta Pantai Tanjung Bidara medan sesuai untuk golongan muda menimba pengalaman dalam perniagaan.
“Berniaga di tapak pesta ini memang berbaloi kerana membuka peluang kepada peniaga muda seperti saya menimba pengalaman dalam perniagaan.
“Apatah lagi tapak pesta ini menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar Melaka,” katanya.
Peniaga minuman, Husin Yusoh, 76, pula melihat pesta itu sebagai platform yang membantu peniaga kecil melariskan produk masing-masing.

“Ini sebenarnya antara tujuan diadakan pesta pantai ini, untuk membantu peniaga menggerakkan perniagaan masing-masing kerana menjadi tumpuan pengunjung,” katanya.
Bukan sekadar tempat berniaga
Pesta berkenaan turut menjadi pilihan keluarga untuk menghabiskan masa hujung minggu.
Pesara tentera, Saidi Kasim, 45, berkata, Pesta Pantai Tanjung Bidara menjadi destinasi menarik untuk bercuti bersama keluarga.
“Pesta ini saya anggap sebagai satu percutian yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Suri rumah, Habibah Mohamad, 45, pula berkata, pesta berkenaan bukan sekadar menawarkan aktiviti hiburan, malah menyediakan pelbagai informasi kepada pengunjung.
“Antaranya karnival kerjaya dan pameran yang boleh mendedahkan anak-anak saya kepada pelbagai pengetahuan,” katanya.
Pesta Pantai Tanjung Bidara edisi ketiga berlangsung bermula 18 September hingga Ahad, 20 September. – MalaysiaGazette
Artikel berkaitan:
Penyu tercantik di Malaysia hanya di Tanjung Bidara – Ab Rauf
















