MELAKA – Tanjung Bidara di sini berpotensi menjadi tumpuan peminat marin apabila menjadi pusat pendaratan penyu spesies Karah yang dianggap tercantik di negara ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pantai Padang Kemunting di Tanjung Bidara menjadi satu-satunya lokasi pendaratan spesies berkenaan di Selat Melaka.
Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan negeri akan menaik taraf
Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Padang Kemunting bagi menarik lebih ramai pelancong ke Tanjung Bidara.
“Potensi untuk memajukan kawasan Padang Kemunting ini sebagai satu destinasi pelancongan baharu akan kita buat kajian terperinci.
“Ini supaya kawasan ini nanti akan jadi tarikan pelancong untuk melihat musim penyu bertelur nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program pelepasan anak penyu di pusat konservasi itu hari ini.
Sebanyak 600 anak penyu spesies Karah dilepaskan ke perairan Tanjung Bidara.

Menurut Ab Rauf, sehingga kini, pusat konservasi berkenaan telah menerima 80,000 pengunjung yang berkunjung untuk melihat sendiri penyu spesies karah di galeri sedia ada.
“Di pusat konservasi ini ada galeri, pusat pembiakan dan kolam memelihara penyu Karah.
“Kawasan ini akan menjadi pusat promosi produk pelancongan baharu apabila semua kelengkapan kita sediakan nanti,” ujarnya.

Antara kemudahan yang bakal dinaik taraf ujarnya, termasuk informasi berhubung jadual penyu mendarat dan bertelur.
Bagaimanapun katanya, Melaka tidak berhasrat untuk bersaing dengan Terengganu yang terkenal sebagai pusat pendaratan penyu Belimbing.
Ini kerana kedua-dua negeri itu menjadi pusat pendaratan penyu daripada spesies yang berbeza. -MalaysiaGazette
















