GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya perkara yang menyentuh sensitiviti kaum serta agama.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu antara yang disentuh selepas beliau menerima taklimat keselamatan daripada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng.
“Berdasarkan taklimat yang diterima, situasi keselamatan dan ketenteraman awam di Pulau Pinang kekal aman, stabil dan terkawal.
“Tiada sebarang insiden dilaporkan yang boleh menjejaskan kestabilan serta keharmonian negeri.
“Kerajaan Negeri akan terus memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya perkara yang menyentuh sensitiviti kaum serta agama,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Hadir sama dalam taklimat berkenaan ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zailanni Amit.
Menurut Kon Yeow, berdasarkan laporan NUMBEO 2026, Pulau Pinang berada di kedudukan ke-69 daripada 402 bandar paling selamat di dunia, dengan Skor Indeks Jenayah 28.9 dan Indeks Keselamatan 71.1.
Katanya, angka itu memberikan gambaran mengenai tahap keselamatan semasa, namun yang lebih penting ialah keyakinan rakyat untuk terus menjalani kehidupan seharian dalam suasana yang aman dan terjamin.
“Kita mahu Pulau Pinang terus menjadi sebuah negeri yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan pembangunan, tetapi juga aman untuk didiami, selamat untuk keluarga dan harmoni untuk semua.
“Keamanan adalah tanggungjawab bersama. Kerajaan, pasukan keselamatan dan seluruh masyarakat mempunyai peranan untuk memastikan keharmonian yang kita nikmati hari ini terus dipelihara.
“Pulau Pinang mesti terus menjadi tempat yang diyakini rakyat untuk hidup, bekerja dan membina masa depan,” katanya. – MalaysiaGazette
















