Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau) Malaysia, Mohd Ridhwan Othman

JOHOR BAHRU – Kerajaan digesa mengambil tindakan lebih drastik dan segera menangani peningkatan kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat, khususnya membabitkan makanan, sewa rumah, pengangkutan dan utiliti.

Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaysia Bersatu (Perimau) Malaysia, Mohd Ridhwan Othman berkata, bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sememangnya membantu rakyat.

Bagaimanapun katanya, pemberian bantuan semata-mata tidak boleh menjadi penyelesaian jangka panjang.

Menurutnya, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila kos keperluan asas terus meningkat sedangkan pendapatan sebahagian besar rakyat tidak berkembang pada kadar sama.

“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), inflasi negara berada pada 1.8 peratus pada Julai 2026, manakala Johor mencatat kadar 2.1 peratus.

“Persoalannya, berapa lama rakyat perlu terus menyesuaikan kehidupan mereka dengan kenaikan kos, sedangkan semakin banyak pendapatan digunakan untuk keperluan asas,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru Perimau mencadangkan kerajaan menubuhkan Task Force Kos Sara Hidup Rakyat yang berfungsi merentas kementerian bagi memantau harga makanan, sewa rumah, pengangkutan, utiliti dan barangan keperluan asas.

Pasukan itu juga ujarnya, dicadangkan menerbitkan laporan perkembangan secara bulanan supaya rakyat dapat mengetahui tindakan yang sudah diambil terhadap isu kos sara hidup.

Selain itu katanya, kerajaan digesa mengaudit keseluruhan rantaian bekalan daripada peringkat pemborong hingga pengguna bagi mengenal pasti punca kenaikan harga, termasuk kos pengangkutan, orang tengah serta margin pemborong dan peruncit.

Perimau turut menggesa tindakan penguatkuasaan diambil sekiranya terdapat bukti pencatutan atau manipulasi harga.

Dalam isu perumahan katanya, kerajaan diminta mempercepat pembinaan rumah sewa mampu milik dan memperluaskan skim sewaan bersubsidi bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Bagi pengangkutan pula, kerajaan disaran menilai keseluruhan kos yang ditanggung rakyat termasuk bahan api, tol, parkir, penyelenggaraan dan insurans, selain memperkukuh pengangkutan awam, katanya.

Mohd Ridhwan berkata, kerajaan juga perlu memastikan sistem bantuan sentiasa dikemas kini supaya keluarga yang benar-benar terkesan tidak tercicir.

Pada masa sama, beliau menegaskan penyelesaian jangka panjang tidak seharusnya hanya bergantung kepada bantuan, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada peningkatan gaji, produktiviti dan peluang pekerjaan berpendapatan lebih tinggi.

“Rakyat tidak mahu mendengar alasan semata-mata. Rakyat mahu melihat hasil. Jika harga meningkat, rakyat mahu tahu apa tindakan kerajaan. Jika terdapat masalah dalam rantaian bekalan, rakyat mahu tahu siapa yang bertanggungjawab,” katanya.

Perimau turut mencadangkan Pelan Tindakan 90 Hari Kos Sara Hidup Rakyat, termasuk mengenal pasti 20 barangan dan perkhidmatan paling membebankan rakyat, mengaudit rantaian bekalan makanan utama serta memperluas pemantauan harga di seluruh negara.

Selain itu katanya, kerajaan juga perlu menerbitkan laporan kemajuan secara terbuka sebagai tanda kebertanggungjawaban kepada rakyat.

“Ini bukan soal politik. Ini soal kehidupan rakyat. Kami tidak meminta kerajaan menyelesaikan semua masalah dalam satu malam, tetapi rakyat berhak melihat tindakan yang lebih pantas, tersusun, telus dan berkesan,” katanya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here