Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan dadah pelbagai jenis yang dirampas pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menumpaskan sindiket pengedaran dadah terancang peringkat antarabangsa dalam Ops Rumbia, di Dewan Pengaman, PULAPOL Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Polis merampas dadah bernilai RM35.24 juta termasuk dan menahan 11 suspek dalam serbuan menerusi Op Rumbia di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada 10 September lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi itu turut membongkar sebuah premis yang dipercayai dijadikan makmal haram untuk memproses dadah.

Katanya, operasi berkenaan merupakan hasil risikan dan siasatan susulan dua operasi terdahulu iaitu Ops Eumenes di Puncak Alam, Selangor dan Ops Thrips di Seremban, Negeri Sembilan.

“Menerusi operasi ini, JSJN menjalankan enam siri serbuan secara serentak dan berjaya menangkap 11 suspek terdiri daripada enam lelaki tempatan serta dua lelaki dan tiga wanita warga asing berusia antara 25 hingga 48 tahun.

“Kesemua mereka ditahan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Hussein berkata, serbuan pertama di sebuah banglo di Ampang, Selangor membawa kepada penahanan tiga suspek serta rampasan syabu dianggarkan seberat 345 kilogram (kg), MDMA seberat 320 gram, selain 10 pistol jenis revolver .38 dan tujuh butir peluru hidup.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan kenderaan mewah pelbagai jenis yang dirampas pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menumpaskan sindiket pengedaran dadah terancang peringkat antarabangsa dalam Ops Rumbia, di Dewan Pengaman, PULAPOL Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2026.

Katanya, polis turut merampas pelbagai mesin serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

Serbuan kedua di sebuah kondominium sekitar Petaling Jaya pula membawa kepada penahanan dua suspek dan rampasan MDMA seberat kira-kira 3.5kg, cecair disyaki methamphetamine seberat 20 gram serta pil Erimin-5 seberat 63 gram.

Sementara itu, empat lagi serbuan di sekitar Kepong, Greenfields, Kuala Lumpur dan Sepang, Selangor membawa kepada penahanan enam suspek lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.

Hussein berkata, serbuan kelima di Subang Jaya, Selangor pula menemukan pelbagai peralatan pemprosesan dadah yang dipercayai sedang disiapkan untuk dijadikan makmal dadah haram.

“Premis berkenaan dipercayai masih dalam proses persiapan dan belum beroperasi secara aktif,” jelasnya.

Secara keseluruhannya, Hussein menegaskan, pihaknya merampas 345kg syabu, 347kg cecair methamphetamine, 3.84kg MDMA, pil Erimin-5 serta ganja.

Mengulas lanjut mengenai rampasan itu Hussein berkata, sindiket itu dipercayai aktif sejak Januari lalu dan menggunakan rumah seperti banglo di kawasan perumahan sebagai lokasi memproses dadah.

Dalam operasi sama katanya, polis turut menyita aset berkaitan sindiket yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM128 juta termasuk 11 kenderaan pelbagai jenis, sebuah jam tangan, dua kad bank dan wang tunai RM3,610.

Beliau berkata, lima suspek utama direman antara 13 hingga 14 hari 10 sehingga 23 hingga 24 September, manakala enam lagi suspek dibebaskan dengan jaminan polis untuk dijadikan saksi.

Tambahnya, hasil saringan awal air kencing mendapati, hanya suspek ketiga positif methamphetamine, manakala semakan rekod mendapati suspek pertama dan kelapan masing-masing mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

Seorang lagi suspek, iaitu suspek keenam, mempunyai satu rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan menunjukkan dadah pelbagai jenis yang dirampas pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menumpaskan sindiket pengedaran dadah terancang peringkat antarabangsa dalam Ops Rumbia, di Dewan Pengaman, PULAPOL Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2026.

Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan dadah dan tindakan penyitaan aset turut dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1988.

Hussein berkata, keseluruhan rampasan dadah itu mampu merosakkan kehidupan kira-kira tiga juta orang sekiranya diedarkan ke pasaran.

“JSJN komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.

“Dadah adalah musuh nombor satu negara dan segala bentuk aktiviti jenayah berkaitan dadah akan dibanteras habis-habisan melalui operasi yang lebih agresif, berfokus dan berimpak tinggi,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah boleh menyalurkannya kepada JSJN menerusi talian hotline 012-208 7222. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here