LUMUT – Kementerian Pertahanan kini pada peringkat akhir untuk menyenarai pendek sistem peluru berpandu permukaan ke pemukaan dari tiga negara untuk kegunaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Tanpa mendedahkan tiga negara berkenaan Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata terdapat beberapa isu yang perlu dimuktamadkan, sebelum mendapat keputusan kerajaan.
“Kita sedang pada peringkat akhir, kita telah senarai pendek tiga surface to surface misile, dari tiga negara,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan pelancaran Tim Nukleus Angkatan Siber bersempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-93 Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini hari ini.
Pada Julai, Malaysia memutuskan untuk menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan pertahanan baharu dari Norway, susulan tindakan negara itu membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu yang diperuntukkan bagi LCS TLDM.
Keputusan itu dibuat susulan pembatalan lesen eksport sistem Naval Strike Missile (NSM), yang sebelum ini dirancang untuk dilengkapkan pada kapal LCS negara.
Sementara itu, mengulas mengenai kemungkinan negara memperoleh sistem peluru berpandu udara ke permukaan BrahMos dari India, beliau berkata ia akan diserahkan kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk membuat kajian.
“Jadi kalau ada cadangan, kita serah kepada TUDM buat kajian, ada soal implikasi dan intergrasi sistem serta naik taraf sistem pada aset pertahanan TUDM, termasuk sistem kapal terbang jet Sukhoi.
“Dan tengok juga pada doktrin pertahanan kita, sebab yang kita ada tu jarak dalam tak lebih 100 kilometer, yang itu jarak 300 hingga 400 kilometer,” katanya.
Minggu lepas ketika lawatan ke New Delhi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa Malaysia sedang meneroka dan meneliti perbincangan awal untuk memperoleh sistem peluru berpandu krus supersonik Brahmos dari India. – BERNAMA
















