Adly Zahari

MELAKA- Pakatan Harapan (PH) Melaka sedang memuktamadkan rundingan dengan parti-parti yang mempunyai aspirasi sama, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi membentuk kerjasama PH Plus untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata rundingan itu dilaksanakan berdasarkan ketetapan yang telah diambil dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

“Rundingan itu juga termasuk dengan Bersatu, namun sebarang bentuk kerjasama hanya akan diumumkan selepas proses rundingan selesai,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah di Duyong, di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Amanah merangkap Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Dalam pada itu, Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata pembahagian kerusi dalam PH antara PKR, Amanah dan DAP telah diselesaikan, termasuk peruntukan lapan kerusi kepada Amanah.

Antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi Amanah ialah DUN Bukit Katil, Durian Tunggal, Telok Mas dan Merlimau.

Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Adly berkata setakat ini tiada rundingan diadakan dengan parti berkenaan. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here