KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook bersama barisan kepimpinan tertinggi parti tiba di ibu pejabat DAP di sini bagi menghadiri mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), hari ini.
Anthony Loke tiba kira-kira jam 2.54 petang, disusuli Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo; Setiausaha Pengelola parti, Khoo Poay Tiong; Bendahari, Ngeh Koo Ham dan Naib Presiden Kebangsaan yang juga Ketua Wanita, Teo Nie Ching.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP, Hannah Yeoh yang merupakan anggota Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
Antara pemimpin lain yang hadir ialah Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming; Naib Pengerusi, Syahredzan Johan dan J Arul Kumar; Setiausaha Antarabangsa, Kasthuri Patto serta anggota CEC, Lim Hui Ying.
Mesyuarat CEC yang bermula kira-kira jam 3 petang itu dijangka membincangkan pendirian DAP serta tindakan susulan parti itu berhubung pengampunan bersyarat yang diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Semalam, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Najib, 73, sebelum ini menjalani hukuman penjara enam tahun di Penjara Kajang selepas hukuman asal 12 tahun dikurangkan pada 2024.
Dalam pada itu, denda RM210 juta yang dikenakan sebelum ini turut dikurangkan kepada RM50 juta.
Anthony Loke sebelum ini berkata, DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, selain menegaskan pendirian parti terhadap keadilan dan akauntabiliti dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – MalaysiaGazette
















