KOTA TINGGI – Seorang lelaki maut dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 66.6, Lebuh Raya Senai-Desaru di sini hari ini.
Mangsa yang terkorban, Chua Bing Xuan, 26, merupakan penumpang belakang kereta Perodua Myvi yang terlibat.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, lelaki yang maut tersebut merupakan antara tujuh individu yang parah dalam kemalangan berkenaan.
“Kita menerima maklumat daripada orang awam berkenaan kemalangan itu pada pukul 11.50 pagi.
“Kemalangan membabitkan kereta tiga Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun bersama-sama empat penumpang dan Proton Exora dipandu lelaki tempatan berusia 56 tahun bersama-sama seorang penumpang.

“Sebuah lagi kereta Mazda CX-30 dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun. Dalam kemalangan itu, pemandu dan semua penumpang Perodua Myvi serta Proton Exora parah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, Hospital Pasir Gudang (HPG) Johor Bahru dan Hospital Kota Tinggi (HKT).
Bagaimanapun katanya, seorang daripada mereka dilaporkan maut di hospital.
Menurut beliau, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung dengan Proton Exora dari arah bertentangan.

Mazda CX-30 pula katanya, melanggar bahagian belakang Proton Exora, pemandunya tidak cedera.
Kes masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 41(1) dan Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama ketika di jalan raya.
Sebarang maklumat bagi membantu siasatan polis boleh disalurkan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Nazatul Shieema Zainuddin di talian 012-7323948, katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Pagawai Bomba Kanan I (PBK I) Muhammad Farid Salim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pukul 11.29 pagi sebelum tiba di lokasi 10 minit kemudian.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan itu dan semua pemandu dan penumpang dalam Perodua Myvi didapati tersepit dalam kenderaan terbabit.
“PKO bertindak menjalankan operasi menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan memastikan keadaan selamat sebelum menamatkan operasi pada pukul 12.38 tengah hari,” katanya. – MalaysiaGazette
















