KUALA LUMPUR – Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara adalah asas perundangan tertinggi yang membentuk kedaulatan negara, justeru ia tidak sepatutnya dijadikan sebagai bahan jenaka atau kandungan hiburan di media sosial.
Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, menegaskan, tindakan menjadikan prinsip undang-undang, Rukun Negara dan Perlembagaan sebagai gurauan berisiko merendahkan rasa hormat masyarakat terhadap institusi perundangan negara.
Katanya, perlembagaan dan undang-undang digubal untuk memastikan keharmonian, ketenteraman serta keadilan sosial buat seluruh rakyat.
“Apabila isu perundangan serta simbol kedaulatan dijadikan bahan persendaan semata-mata untuk meraih populariti atau jumlah tontonan, ia adalah satu trend amat membimbangkan.
“Tindakan ini secara tidak langsung boleh memberi gambaran salah kepada masyarakat seolah-olah sistem perundangan negara boleh dipandang ringan dan dibakulsampahkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian bagi mengulas penularan rakaman video ‘pementasan seni’ oleh sebuah kumpulan teater di platform media sosial, baru-baru ini.
Video berkenaan memaparkan babak serta dialog yang didakwa memperlekehkan prinsip Rukun Negara dan simbol kedaulatan negara atas nama ekspresi kreatif dan karya seni.
Penularan video itu mencetuskan kecaman hebat netizen dan pelbagai pihak, termasuk pimpinan kerajaan yang menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab serta melampaui batas sensitiviti kenegaraan.
Susulan itu, siasatan kini dijalankan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, trend sedemikian bukan sahaja memperlihatkan kedangkalan pemahaman individu terhadap perundangan, malah berpotensi menghakis nilai patriotisme dan jati diri, terutamanya dalam kalangan generasi muda.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) turut menjelaskan, kebebasan bersuara dan berkarya walau di mana pun termasuk di ruang digital tetap mempunyai batasan yang perlu disulami dengan rasa tanggungjawab.
Justeru, beliau menggesa pihak berwajib mengambil tindakan undang-undang yang sekeras-kerasnya terhadap mana-mana pihak yang berani mencabar atau memperlekehkan teras kenegaraan tersebut.
“Pihak berkuasa tidak boleh kompromi dan perlu mengambil tindakan tegas tanpa berbelah bahagi kepada sesiapa sahaja yang mencabar Perlembagaan, undang-undang dan Rukun Negara. Perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh dibuat main atau bahan gurauan, sebaliknya ia adalah teras dan tiang seri kepada pembentukan sebuah negara yang berdaulat.
“Langkah tegas ini penting bagi memberi mesej jelas bahawa kebebasan bersuara ada batasnya dan kedaulatan negara tidak boleh dikompromi sama sekali,” tegas beliau.
Sehubungan itu, katanya, pengguna media sosial dan pencipta kandungan perlu lebih bertanggungjawab serta mengutamakan akal fikiran dan sensitiviti sebelum memuat naik sebarang bahan yang menyentuh teras kenegaraan.
“Sensitiviti terhadap simbol kedaulatan, perlembagaan dan undang-undang perlu dipelihara. Kita tidak mahu timbul budaya biadab yang akhirnya memecahbelahkan keharmonian kaum serta mengancam keselamatan negara,” katanya.
















