Gambar hiasan. Foto AIMAN RIZAL, 15 SEPTEMBER 2026.

HANYA kira-kira dua minggu sebelum Formula 1 kembali ke Sepang, perhatian kini tertumpu kepada persiapan terakhir menjelang perlumbaan yang dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober 2026. 

Namun, di sebalik persiapan yang rancak di litar bagi penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix tersebut, keadaan jerebu yang sedang melanda negara ketika ini wajar diberi perhatian.

Buat masa ini, tiada petunjuk bahawa perlumbaan berkenaan akan dibatalkan.

Walaubagaimanapun, perkembangan kualiti udara dalam tempoh dua minggu akan datang perlu dipantau dengan teliti memandangkan keadaan cuaca dan jerebu boleh berubah mengikut hujan, arah angin serta perkembangan kebakaran di rantau ini. 

Fenomena jerebu di Malaysia mula menjejaskan kualiti udara sejak pertengahan Ogos, khususnya di beberapa kawasan di Lembah Klang seperti Kuala Lumpur, Shah Alam dan Cheras akibat musim Monsun Barat Daya yang membawa cuaca panas dan kering.

Keadaan itu berlarutan sehingga pertengahan September dan turut meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan jerebu rentas sempadan susulan kebakaran hutan dan tanah di Indonesia.

Kemuncaknya pada Hari Malaysia, 16 September, apabila 41 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap Tidak Sihat, dengan Putrajaya dan beberapa kawasan di Lembah Klang antara yang terjejas.

Perkembangan ini tentunya menimbulkan kerisauan apabila tarikh penganjuran perlumbaan F1 semakin hampir. 

F1 bukan satu-satunya acara yang perlu mengambil kira kemungkinan itu. Kalendar penganjuran sukan dalam negara menyaksikan jadual yang amat padat sepanjang tempoh tersebut.

Antaranya, POWERMAN Malaysia 2026 yang berlangsung di Putrajaya dari 18 hingga 20 September, disusuli Le Tour de Langkawi (LTdL) dari 27 September hingga 4 Oktober dan Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) pada 3 dan 4 Oktober. 

Jadual yang padat ini menjadikan jerebu satu risiko yang lebih luas kepada penganjuran acara antarabangsa di Malaysia, bukan sekadar isu berkaitan satu perlumbaan.

Apabila kualiti udara menjadi faktor keselamatan

Kesan jerebu terhadap setiap acara mungkin berbeza, tetapi persoalan asasnya adalah sama. Keselamatan peserta, penonton dan petugas menjadi keutamaan.

Bagi POWERMAN, LTdL dan KLSCM, pendedahan kepada udara tercemar amat berisiko kerana peserta berlari dan berbasikal untuk tempoh yang panjang serta pada tahap intensiti yang tinggi.

Malaysia juga mempunyai pengalaman dalam perkara ini. KLSCM 2015 pernah dibatalkan susulan kebimbangan terhadap keadaan jerebu dan kesihatan peserta.

F1 pula mempunyai pertimbangan operasi yang lebih kompleks. Perlumbaan F1 dijangka menghimpunkan antara 100,000 dan 150,000 penonton serta 3,000 hingga 5,000 kru termasuk penganjur, pegawai FIA, kru penyiaran TV antarabangsa, kru perubatan dan pit marshal.

Selain kesihatan penonton dan petugas, tahap kelajuan kereta F1, jarak penglihatan, keselamatan pelumba, marshal, pasukan perubatan dan operasi litar semuanya perlu dinilai sekiranya keadaan udara merosot.

Dalam keadaan sedemikian, bacaan Indeks Pencemar Udara (API) dan PM2.5 menjadi antara rujukan penting.

Selain itu, pemantauan keadaan cuaca, arah angin dan perkembangan kebakaran di rantau ini perlu diberi perhatian sebelum sebarang keputusan diambil.

Risiko kepada imej dan sektor pelancongan negara 

Kesan jerebu kepada acara antarabangsa tidak berhenti di lokasi penganjuran semata-mata.

Pengunjung yang datang untuk F1, misalnya, turut menggunakan hotel, restoran, pengangkutan, pusat beli-belah dan perkhidmatan pelancongan lain.

Dalam analisis mengenai kepulangan F1 ke Sepang, acara itu dilihat sebagai peluang untuk menghubungkan perlumbaan dengan agenda pelancongan yang lebih luas, termasuk menggalakkan pengunjung untuk melanjutkan tempoh penginapan dan meneroka destinasi lain di Malaysia.

Perkara ini amat relevan ketika Malaysia sedang melaksanakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Sebarang gangguan atau pembatalan pada saat akhir berpotensi memberi kesan kepada rantaian ekonomi yang bergantung pada kehadiran pengunjung, termasuk sektor hotel, restoran, pengangkutan dan perkhidmatan pelancongan lain.

Lebih daripada itu, sebarang gangguan juga boleh mempengaruhi pengalaman pengunjung terhadap Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan tuan rumah acara antarabangsa.

Atas sebab itu, ancaman jerebu mesti diberi perhatian sebagai salah satu aspek terpenting dalam pengurusan risiko bagi penganjuran acara antarabangsa kali ini. 

Bersedia tanpa membuat kesimpulan terlalu awal

Bagi Malaysia, tumpuan kini adalah kepada pemantauan dan komunikasi.

Data API dan PM2.5, perkembangan titik panas, ramalan cuaca serta arah angin perlu dinilai dari semasa ke semasa bagi memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai keadaan kualiti udara apabila tarikh acara semakin hampir.

Pada masa yang sama, komunikasi yang jelas antara pihak berkuasa, penganjur, pasukan antarabangsa dan orang ramai amat penting sekiranya keadaan berubah.

Bagi pengunjung yang sudah membuat tempahan penerbangan, hotel dan tiket perlumbaan, penyampaian maklumat yang tepat dan konsisten dapat memberikan keyakinan serta mengurangkan spekulasi.

Ini tidak bermakna setiap peningkatan bacaan pencemaran udara perlu diterjemahkan kepada penangguhan atau pembatalan acara. Sebaliknya, pemantauan berterusan memberikan ruang untuk menilai risiko secara berperingkat dan membuat keputusan berdasarkan keadaan sebenar.

Malaysia perlu sentiasa optimis

Masih awal untuk membuat kesimpulan bahawa F1 Sepang akan terjejas.

Keadaan pada pertengahan September tidak semestinya menggambarkan keadaan pada hari perlumbaan awal Oktober nanti. 

Persoalan sama ada jerebu akan reda sebelum F1 Sepang masih belum mempunyai jawapan yang pasti. Keadaan banyak bergantung kepada perkembangan kebakaran, hujan dan arah angin.

Justeru, agensi terlibat perlu memantau setiap risiko dengan teliti serta mengambil tindakan susulan yang bersesuaian. Dengan data dan maklumat yang mencukupi, keputusan dapat dibuat berdasarkan keadaan sebenar.

Diharapkan perubahan cuaca dan hujan dapat membantu memperbaiki kualiti udara, manakala perubahan arah angin pula akan mempengaruhi pergerakan asap jerebu.

Buat masa ini, yang diperlukan ialah pemantauan rapi, komunikasi yang baik dan persediaan yang menyeluruh sekiranya keadaan berubah.

Segala usaha perlu digembleng agar F1 dapat kembali ke Sepang seperti yang dirancang serta memberi manfaat kepada sektor sukan, pelancongan, hospitaliti dan ekonomi.

Oleh: Akmal Adanan
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan
UiTM Cawangan Melaka
[email protected]

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here