KUANTAN – Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) membongkar penemuan aktiviti pencerobohan tanah secara haram di Hutan Simpan Kekal Tasik Bera membabitkan kawasan seluar lebih 7,000 hektar.
Ketua UPNP, Saifullah Muhammad Ali dilaporkan berkata, ia dikesan susulan operasi penguatkuasaan secara bersepadu yang dijalankan bermula 14 September lepas.
UPNP turut mengesyaki terdapat sindiket haram yang berselindung di sebalik nama Orang Asli untuk melakukan pencerobohan tanah secara haram.
“Tindakan penguatkuasaan ini diambil kerana kami turut mengesyaki anggaran seluas 18,000 ekar kawasan Hutan Simpan telah diteroka secara haram dengan tanaman sawit dan getah.
“Kami juga mengesyaki terdapat sindiket haram dari luar Pahang yang memanipulasi Orang Asli untuk membuka beribu ekar tanah yang berselindung di belakang alasan tanah adat dan kawasan rayau Orang Asli.
“Selain itu, ada setengah tempat yang kami pergi, perkampungan Orang Asli hanya ada enam rumah tetapi kita boleh lihat penerokaan yang terjadi seluas 1,000 ekar. Adakah ini kita kira sebagai tanaman sara hidup?” soalnya menerusi laporan portal Pahang Media.

Kawasan Hutan Simpan Kekal Tasik Bera yang diteroka secara haram.Mengulas mengenai insiden yang tular berkenaan tindakan anggota penguat kuasa yang dilihat menyepak bekas kemenyan, katanya, tindakan provokatif oleh pihak terlibat telah menghalang pihaknya menjalankan tugas ketika kejadian.
BACA: Kemenyan di pintu gerbang penguat semangat orang Asli Semelai
“Sebagai contoh, sepanjang empat hari operasi, kami masuk lebih kurang 10 kampung dan semua jalan masuk kampung disekat dengan halangan berpagar yang digantung dengan tulang-tulang dan bekas kemenyan diletakkan di tengah-tengah pagar.
“Apa niat Orang Asli melakukan perkara tersebut? Seperti memang ada niat untuk mengenakan santau atau mencederakan semua penguat kuasa yang bertugas.
“Penguat kuasa yang bertugas tiada pilihan selain membuka halangan pagar dan bekas kemenyan tersebut bagi menyelesaikan tugasan mereka,” jelasnya.
Tegas Saifullah, operasi penguatkuasaan di kawasan itu akan tetap diteruskan bagi melumpuhkan sindiket haram yang meneroka sawit dalam kawasan Hutan Simpan di negeri itu.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan bersepadu yang bermula 14 September 2026 itu melibatkan 160 anggota, dari UPNP, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Jabatan Perhilitan Negeri Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah Bera, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Bera dan Pasukan Gerakan Am Batalion 7.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















