MANILA – Sekurang-kurangnya enam orang maut manakala 17 lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di selatan Filipina pada Jumaat, menurut Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan (DSWD), lapor Xinhua.
DSWD memaklumkan petugas sosialnya berada di lokasi bagi memberikan bantuan dan sokongan psikologi.
Terdahulu, pegawai tempatan melaporkan bahawa semua mangsa yang maut dalam insiden tembakan itu merupakan mangsa bawah umur berusia antara 14 hingga 17 tahun.
Menurut siasatan awal, suspek berusia 16 tahun dipercayai antara yang maut selepas menembak diri sendiri. Kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari.
Semua kelas digantung serta-merta di semua peringkat di Perbandaran Banga, wilayah Cotabato Selatan, menurut pejabat pengurangan risiko dan pengurusan bencana tempatan.
Jabatan Pendidikan melahirkan kebimbangan mendalam terhadap insiden tembakan yang dilaporkan itu. – BERNAMA
















