SYDNEY – Australia akan menahan pelancong yang tinggal melebihi tempoh visa bagi memberi mesej pencegahan, di bawah peraturan baharu yang bertujuan mengurangkan kadar migrasi, kata seorang menteri pada Jumaat.

Parti Buruh yang memerintah Australia menafikan langkah itu merupakan usaha memperketatkan peraturan visa sebagai tindak balas terhadap peningkatan sokongan terhadap parti berhaluan kanan, One Nation, yang menjadi antara parti paling popular di negara itu tahun ini dengan janji untuk mengurangkan migrasi secara drastik.

Di bawah pembaharuan yang diumumkan, Australia akan menghentikan kemudahan ahli keluarga untuk mengiringi pelajar, memperkenalkan sistem pengundian bagi pemohon visa bekerja dan melancong, selain mengambil tindakan tegas terhadap pemegang visa yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Penolong Menteri Luar Australia, Matt Thistlethwaite berkata, pelancong akan ditempatkan di pusat tahanan imigresen bagi mengurangkan jumlah pemegang visa yang tinggal lebih masa, yang kini meningkat kepada 77,000 orang.

Beliau berkata, individu yang tidak mempunyai hak untuk terus berada di Australia akan berdepan “akibat” dan dihantar pulang.

Sejak 2015, pusat tahanan imigresen Australia dipenuhi individu yang mempunyai sabitan jenayah dan menunggu untuk dihantar pulang susulan perubahan dasar yang menyaksikan visa pemastautin tetap tertentu dibatalkan secara mandatori bagi beberapa kesalahan jenayah.

Menteri Imigresen, Tony Burke, ketika mengumumkan dasar baharu itu berkata, kerajaan akan menyediakan 250 katil dan menambah 100 pegawai pematuhan bagi menempatkan pemegang visa yang tinggal melebihi tempoh di fasiliti berasingan.

Ketua Eksekutif Australian Tourism Industry Council, Erin McLeod pula berkata, cadangan menahan pelancong tidak baik untuk imej Australia.

“Saya tidak fikir ia membantu reputasi kita sebagai destinasi yang mengalu-alukan pelancong dan ia boleh membawa kesan yang besar – pelancongan merupakan sektor penting dalam ekonomi Australia,” katanya kepada AFP.

Pengarah Dasar, Refugee Council of Australia, Rebecca Eckard menyifatkan langkah berkenaan menimbulkan kebimbangan berkaitan keselamatan dan aspek perundangan.

“Ia digambarkan sebagai langkah menghukum untuk mengubah tingkah laku. Penggunaan tahanan berbentuk hukuman tidak dibenarkan di bawah Akta Imigresen Australia.

“Sudah terdapat masalah besar berkaitan tahanan imigresen,” katanya sambil merujuk kepada kebimbangan yang dibangkitkan oleh ombudsman kerajaan mengenai kekurangan kakitangan serta akses kepada penjagaan kesihatan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here