Ab. Rauf Yusoh

MELAKA – Spekulasi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka semakin kuat susulan sidang media khas Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang dijadualkan pada petang ini.

Jemputan yang dikeluarkan Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri memaklumkan sidang media khas itu akan berlangsung pada jam 2 petang di Auditorium Seri Negeri, Blok Laksamana.

Bagaimanapun, jemputan berkenaan tidak menyatakan agenda sidang media tersebut.

Namun, ia dipercayai mempunyai kaitan dengan perkembangan terkini mengenai kedudukan DUN Melaka ketika spekulasi pembubarannya semakin hangat sejak beberapa hari lalu.

Turut mencetuskan perhatian ialah perubahan jadual Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang diadakan hari ini, Selasa.

Mesyuarat Exco lazimnya berlangsung pada Rabu, namun mesyuarat minggu ini dijadualkan pada jam 12 tengah hari sebelum disusuli mesyuarat Post-Exco Ketua Menteri.

Sumber sebelum ini turut memaklumkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) telah diminta hadir di Seri Negeri pada jam 2.30 petang, dengan jemputan berkenaan dipercayai dikeluarkan sejak malam tadi.

Perkembangan berkenaan sekali gus meningkatkan jangkaan bahawa sidang media khas Ab Rauf petang ini bakal menjadi platform bagi satu pengumuman penting berkaitan DUN Melaka.

Sekiranya pembubaran DUN diumumkan, ia akan membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk menentukan komposisi baharu bagi kesemua 28 kerusi DUN negeri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here