KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun.
Pelantikan itu berkuat kuasa 16 September 2026 selepas mendapat kelulusan daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, sekali gus menyaksikan Ayob Khan menggantikan Datuk Husaini Omar yang tamat tempoh perkhidmatannya.
UTeM dalam kenyataan berkata, pengalaman luas Ayob Khan dalam bidang kepimpinan dan pengurusan tertinggi salah sebuah jabatan utama dalam negara diyakini mampu memperkukuh peranan Lembaga Pengarah dalam memastikan hala tuju strategik universiti terus dipacu secara mampan.
“UTeM percaya pengalaman hebat beliau, berpakejkan kewibawaan pengurusan strategik tahap tinggi mampu memimpin Lembaga Pengarah UTeM dalam mendepani cabaran mendatang,” menurut kenyataan itu.
Ayob Khan berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia mempunyai pengalaman hampir 35 tahun dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk pernah memegang beberapa jawatan kanan dalam pasukan keselamatan berkenaan.
Berdasarkan rekod lalu beliau dilantik sebagai Ketua Polis Johor pada 2020 – 2022 sebelum meneruskan khidmat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).
Seterusnya beliau dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada tahun 2023.
Beliau bersara wajib daripada perkhidmatan PDRM pada Julai 2026 selepas hampir tiga setengah dekad menabur bakti dalam pasukan berkenaan.
Dalam pada itu, UTeM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Husaini atas segala sumbangan, komitmen dan khidmat bakti sepanjang tempoh beliau menerajui Lembaga Pengarah universiti sebelum ini.
Pelantikan Ayob Khan dijangka memberi dimensi baharu kepada kepimpinan strategik UTeM, khususnya dalam memperkukuh tadbir urus, jaringan strategik serta peranan universiti dalam pembangunan pendidikan teknikal negara. – MalaysiaGazette
















