KUALA NERUS – Pendekatan berasaskan alam sebagai ruang refleksi dan pemulihan diri diketengahkan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerusi Konvensyen I-PEERS 2026: Sembuh Bersama Alam yang berlangsung selama tiga hari, dari
17 hingga 19 September lalu.
Konvensyen anjuran UMT dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Yayasan Perkasa Siswa dan Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) itu menghimpunkan 159 peserta terdiri daripada 142 pelajar dan 17 pegawai.
Bertemakan Sembuh Bersama Alam, program berkenaan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman mengenai kepentingan kesejahteraan mental, selain mengetengahkan terapi seni, terapi pasir dan pendekatan berasaskan alam sebagai sokongan psikologi.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, usaha menjaga kesejahteraan mahasiswa memerlukan pembinaan ekosistem sokongan yang melibatkan pelbagai pihak, termasuk pensyarah, pegawai psikologi, pentadbir, Pembimbing Rakan Siswa (PRS) dan mahasiswa sendiri.
“Universiti bukan sekadar tempat mahasiswa memperoleh ilmu, tetapi juga sebuah ruang yang membolehkan mereka berkembang sebagai manusia.
“Dalam konteks inilah, usaha memperkukuh jaringan sokongan rakan sebaya menjadi begitu signifikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Konvensyen I-PEERS 2026 di Dewan Utama, Pulau Bidong UMT.
Menurut beliau, pemilihan Pulau Bidong sebagai lokasi program memberi pengalaman berbeza kepada peserta apabila mereka dapat berada jauh daripada kesibukan rutin harian serta dikelilingi laut, langit dan alam semula jadi.
Katanya, tema Sembuh Bersama Alam mengajak peserta melihat kesejahteraan daripada perspektif lebih luas, dengan alam bukan sekadar latar kehidupan, malah boleh menjadi ruang untuk memperlahankan langkah, melakukan refleksi dan mengembalikan keseimbangan diri.
Sementara itu, peserta, Muhamad Afiq Aliudin, 20, berkata, penyertaannya dalam I-PEERS 2026 memberi pengalaman baharu mengenai cara menerapkan elemen kesejahteraan dalam diri, khususnya dalam membantu rakan yang sedang berdepan masalah.
“Program ini memberi pengalaman baharu kepada saya tentang bagaimana menerapkan elemen kesejahteraan dalam diri, khususnya untuk membantu rakan-rakan yang sedang menghadapi masalah.
“Pada masa sama, program ini turut memberi peluang kepada kami membina jaringan dan berkongsi pengalaman bersama rakan-rakan dari universiti lain,” katanya.
Antara pengisian utama konvensyen ialah bengkel terapi seni dan terapi alam, selain pengenalan Modul Terapi Seni R.E.S.T, Modul Terapi Seni AD-HTP, Modul Lestari Hijau dan Modul Terapi Pasir.
Program turut menyediakan platform perkongsian ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang kaunseling dan psikologi berteraskan alam, di samping menggalakkan inovasi dalam perkhidmatan psikologi menerusi pertandingan inovasi bagi kategori pelajar PRS dan pegawai psikologi.
Pada majlis penutupanturut berlangsung peluncuran Modul Poket: Sembuh Bersama Alam, watikah pelantikan Penasihat PRS Kebangsaan dan Jawatankuasa PRS Kebangsaan serta penyampaian hadiah pertandingan inovasi.
Modul Poket berkenaan mengandungi koleksi aktiviti terapi yang menggunakan bahan semula jadi dan bahan kitar semula serta intervensi psikopendidikan yang ringkas, praktikal dan mudah diaplikasikan oleh PRS bagi membantu meningkatkan kesejahteraan psikologi mahasiswa.
Modul itu turut mengintegrasikan konsep penyembuhan berasaskan alam dengan aktiviti refleksi kendiri yang boleh dilaksanakan secara individu atau berkumpulan dalam tempoh singkat.
Mohd Izani berkata, jaringan yang terbina sepanjang konvensyen perlu diteruskan selepas peserta kembali ke institusi masing-masing, manakala idea dan pengalaman yang dikongsikan perlu diterjemahkan kepada tindakan. – MalaysiaGazette
















