Pic 1 & 2: Sekitar majlis perasmian World Academia Summit (WAS) 2026 memperkukuh agenda pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), penyelidikan serta inovasi negara, baru-baru ini.

MELAKA – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperkukuh agenda pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), penyelidikan serta inovasi negara menerusi World Academia Summit (WAS) 2026, yang julung kali menghimpunkan tiga persidangan akademik berfokus di bawah satu platform diadakan di Bandaraya Melaka, baru-baru ini.

WAS 2026 bertemakan Unified Frontiers in TVET and Sustainable Technology dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Aminuddin bin Hassim pada majlis perasmian yang turut menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, pemain industri dan peserta dari dalam serta luar negara.

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin, berkata, penyatuan tiga persidangan itu mencerminkan keperluan menghubungkan kepakaran merentas disiplin bagi mendepani perkembangan teknologi yang semakin kompleks dan pantas.

Beliau berkata, WAS 2026 menghimpunkan Persidangan Simposium Kebangsaan Sains Matematik Ke-33 (SKSM33), The 2026 International Conference on Emerging Sustainable Electrical Systems and Technology (ICESEST 2026) serta The 2026 International Conference on Artificial Intelligence and Cyber Security (AICyS 2026).

“Perkembangan ilmu dan teknologi hari ini semakin merentas sempadan disiplin. Sains matematik menjadi asas kepada pelbagai bidang teknologi, sistem elektrik mampan menyokong pembangunan teknologi dan tenaga masa hadapan, manakala kecerdasan buatan serta keselamatan siber semakin penting dalam transformasi digital,” katanya dalam ucapan pada majlis berkenaan.

Menurut Massila, WAS 2026 menjadi platform untuk ahli akademik, penyelidik, pelajar dan pemain industri berkongsi pengetahuan, bertukar pandangan serta meneroka peluang kerjasama baharu dalam bidang strategik negara.

Katanya, sebagai universiti teknikal, UTeM bertanggungjawab memastikan ilmu dan teknologi yang dihasilkan tidak terhenti di menara gading, sebaliknya diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar yang memberi manfaat kepada industri, komuniti dan negara.

“Dalam konteks ini, kami percaya kepada pendekatan industrydriven, technologyenabled dan humancentred selain memastikan penyelidikan universiti diterjemahkan kepada inovasi yang memberi manfaat kepada industri, komuniti dan negara,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran WAS 2026 turut memperluas keterlihatan UTeM dan jaringan strategiknya di peringkat nasional serta antarabangsa, selain membuka ruang lebih luas kepada warga akademik dan penyelidik membina kolaborasi dengan institusi serta rakan strategik.

Massila berkata, kekuatan WAS 2026 bukan sekadar pada penyatuan tiga persidangan, tetapi keupayaannya mempertemukan kepakaran, idea dan peluang bagi membentuk jaringan kerjasama yang berterusan serta berimpak tinggi.

“Saya berharap WAS 2026 dapat menjadi titik temu yang mempertemukan kepakaran, idea dan peluang, seterusnya melahirkan jaringan kolaborasi yang berterusan dan berimpak tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here