SUNGAI SIPUT – Program Kembara Bersasar 2026 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meneruskan siri jelajahnya di Perak dengan menjadikan masyarakat orang asli sebagai kumpulan sasaran keempat bagi memperluas akses dan maklumat pendidikan tinggi secara terus kepada komuniti akar umbi.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Dr. Raja Nor Safinas Raja Harun berkata, penganjuran di Perak merupakan lokasi keempat dalam siri Jelajah Program Kembara Bersasar 2026 anjuran KPT menerusi Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA (BKPA), Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT).
Menurut beliau, pendekatan di Perak dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh dengan pengisian merangkumi bimbingan pendidikan tinggi, pembangunan kemahiran dan TVET, kebajikan serta khidmat kemasyarakatan, selain aktiviti komuniti dan warisan kebudayaan.
Program yang berlangsung selama dua hari di Pos Yum dan Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) Bawong turut menyediakan kursus pendek praktikal seperti manicure dan penternakan madu kelulut, selain pameran akademik dan praktikal berasaskan TVET.
“Aktiviti komuniti turut merangkumi sukan mini dan sukaneka kanak-kanak orang asli, pertandingan mewarna, demonstrasi kraftangan tradisional serta perlawanan persahabatan sepak takraw antara anak tempatan dan warga UPSI,” katanya.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Datuk Khairudin Abu Hanipah.
Pada majlis yang sama, turut diadakan penyampaian secara simbolik surat tawaran pengajian Diploma Perguruan di UPSI kepada 25 orang asli yang terpilih, sebagai antara manifestasi peluang pendidikan tinggi yang dibawakan menerusi program berkenaan. – MalaysiaGazette
















