SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak tuntutan saman RM1 juta yang difailkan seorang remaja perempuan bersama ibu bapanya berhubung kecederaan tulang belakang yang didakwa dialaminya selepas terjatuh apabila kerusi yang hendak didudukinya ditarik seorang rakan, tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Anita Harun, memutuskan demikian selepas mendapati plaintif gagal membuktikan wujud unsur kecuaian pihak defendan yang menjadi punca kejadian berkenaan.
Beliau berkata, insiden itu berlaku terlalu pantas untuk dijangka atau dicegah oleh mana-mana guru yang berada di tempat kejadian ketika itu.
“Tindakan plaintif-plaintif terhadap kesemua defendan adalah ditolak.
“Tiada anugerah untuk faedah atau ganti rugi terpakai di bawah penghakiman ini. Kesimpulan ini tidak menafikan kecederaan plaintif pertama atau kesusahan keluarganya.
“Ia mencerminkan kegagalan untuk membuktikan kesalahan dan hubungan punca dan kesan yang diperlukan oleh undang-undang,” katanya ketika membacakan penghakiman.
Mahkamah turut memerintahkan plaintif membayar kos RM10,000 kepada pihak defendan.
Saman itu difailkan bapa remaja berkenaan, Wan Amey Shahril Wan Ab Rahman, 39 tahun bagi pihak dirinya, isteri dan anak perempuan mereka terhadap enam defendan.
Mereka ialah tiga guru, Ilyana Sari Ridzuan, Suhaida Abdul Rahman dan Aizam Naim Mohd Junid; guru besar, Hamidah Shamsudin; Kementerian Pendidikan Malaysia serta Kerajaan Malaysia.
Sementara itu, peguam yang mewakili plaintif, Sofian Azmir, berkata pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan berkenaan dan akan mengemukakan rayuan dalam masa terdekat.
“Kami tidak bersetuju dan mengakui ada khilaf. Kami akan membuat rayuan secepat mungkin atas sebab beberapa hujah tidak ditegaskan atau dinyatakan oleh Yang Arif.
“Kami mahu menegaskan bahawa kes ini membabitkan individu berkeperluan khas dan sepatutnya ada pemantauan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.
Media sebelum melaporkan remaja perempuan ketika berusia 12 tahun ketika itu hampir setahun menderita akibat komplikasi kecederaan tulang belakang selepas terjatuh apabila kerusi yang hendak didudukinya ditarik seorang kenalan.
Kejadian berlaku pada 12 Oktober 2023, ketika remaja menghadiri program pendidikan khas di sebuah sekolah rendah di Shah Alam.
Ibunya, Azera Yazid, 38 mendedahkan keadaan anaknya menerusi platform TikTok sebelum keluarga berkenaan mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan ganti rugi atas kecederaan dan kesan yang dialami anaknya.
Saman itu difailkan menerusi peguam, Sofian Azmir.
Defendan pula diwakili oleh Afiq Nazrin Zaharinan. -MalaysiaGazette
















