ISTANBUL – Lima orang termasuk pelajar cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di luar sebuah sekolah menengah di barat Turkiye hari ini, lapor media tempatan.

Penyiar swasta NTV melaporkan serangan berlaku kira-kira pukul 8 pagi waktu tempatan (5 pagi GMT) di daerah Turgutlu, wilayah Manisa.

Seorang daripada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius.

Menurut laporan, suspek yang belum dikenal pasti melepaskan tembakan di kawasan berkenaan atas sebab yang masih tidak diketahui sebelum melarikan diri.

Polis dan pasukan perubatan tiba di lokasi, manakala pihak berkuasa sedang memburu suspek. Kawalan keselamatan di sekitar sekolah turut dipertingkatkan.

Kejadian itu merupakan insiden tembakan terbaharu yang berlaku di Turkiye.

Pada April lalu, seorang remaja berusia 14 tahun melepaskan tembakan di sebuah sekolah di wilayah Kahramanmaras, menyebabkan sembilan pelajar berusia antara 10 dan 11 tahun serta seorang guru terbunuh. Remaja terbabit turut maut di lokasi kejadian.

Dalam kejadian berasingan di wilayah Sanliurfa di tenggara negara itu, seorang bekas pelajar melepaskan tembakan di sekolah menengah lamanya dan mencederakan 16 orang sebelum membunuh diri apabila berdepan dengan polis.

Beberapa serangan berkenaan mencetuskan kemarahan orang ramai.

Presiden Recep Tayyip Erdogan sebelum ini memecat seorang timbalan menteri pendidikan dan berkata kerajaan akan memperkenalkan beberapa langkah termasuk sekatan terhadap pemilikan senjata api. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here