MARAN – Musim buah dokong di Pahang yang sepatutnya menjadi antara hasil dinanti-nantikan kini tidak menjadi selepas banjir yang menyebabkan peniaga terpaksa ‘mengimport’ bekalan dari Kelantan dan Terengganu bagi memastikan permintaan pelanggan.
Seorang peniaga, Kamal Abu Kasim, 40, berkata, ketika kawasan di Pahang kurang menghasilkan buah berkenaan, bekalan dari beberapa kawasan lain pula masih rancak sekali gus menjadi sumber utama untuk pasaran ketika ini.
“Musim di Pahang memang tak jadi selepas banjir. Banyak musim di sebelah luar seperti Kelantan dan Terengganu. Jadi kita ambil bekalan dari luar untuk masuk ke Pahang,” katanya.

Menurutnya, ketika ini, tiga jenis dokong ditawarkan kepada pelanggan iaitu Dokong Dewan, Dokong Terengganu dan Dokong Kampung dengan setiap varieti mempunyai rasa dan tekstur tersendiri.
Katanya, Dokong Dewan mempunyai rasa manis pada bahagian pangkal tetapi sedikit masam di hujung manakala Dokong Terengganu pula tidak mempunyai tangkai dan isinya lebih menyerupai jeli.
“Yang kampung pula memang manis betul. Kebanyakan pelanggan cari yang ini,” katanya.
Lebih menarik, pelanggan tidak perlu memilih satu jenis sahaja apabila peniaga membenarkan buah daripada ketiga-tiga jenis dicampurkan pada harga sama.
“Untuk harga, tiga kilogram RM20, dua kilogram RM15. Campur pun boleh, semua sama harga,” katanya.
Dalam sehari, peniaga berkenaan mampu menjual kira-kira 10 bakul dokong dengan setiap bakul seberat sekitar 16 kilogram.
Jumlah itu bermakna kira-kira 160 kilogram buah dokong boleh dijual sehari menunjukkan permintaan terhadap buah bermusim itu masih tinggi.
Keadaan tersebut bagaimanapun turut memperlihatkan sejauh mana pasaran Pahang kini bergantung kepada bekalan luar apabila hasil tempatan tidak mencukupi.
Dengan musim Pahang yang didakwa tidak menjadi, kesinambungan bekalan dari Kelantan dan Terengganu menjadi penting untuk memastikan stok sekitar 160 kilogram sehari itu terus dapat dipenuhi. – MalaysiaGazette
















