KAJANG – Suasana di pintu masuk Penjara Kajang di sini kembali lengang hari ini berbanding beberapa hari lalu yang dipenuhi pengamal media dan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan pengumuman pengampunan bersyarat terhadapnya.
Tinjauan mendapati, keadaan di sekitar pintu masuk penjara tidak lagi sesibuk ketika pengumuman berkenaan dibuat pada 18 September lalu, ketika lokasi itu menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa yang menantikan perkembangan mengenai kemungkinan Najib keluar dari penjara.
Perhatian kini lebih tertumpu kepada kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, susulan perkembangan berkaitan persediaan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Najib dijangka menjalani baki hukuman penjara di kediamannya di Langgak Duta, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan termasuk pembayaran denda RM50 juta.
Bagaimanapun, setakat ini proses berkenaan masih tertakluk kepada pelaksanaan prosedur oleh Jabatan Penjara.
Pada 21 September lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata, keluarga Najib masih belum menjelaskan denda RM50 juta yang menjadi syarat untuk beliau menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.
Sementara itu, polis dan Jabatan Penjara sebelum ini turut mengadakan penilaian aspek keselamatan di kediaman Najib di Langgak Duta sebagai persediaan sekiranya perintah tahanan rumah dilaksanakan.
Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes membabitkan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.
Beliau pada asalnya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sebelum Lembaga Pengampunan pada Februari 2024 mengurangkan hukuman penjara kepada enam tahun serta denda kepada RM50 juta.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman bagi kes SRC International melalui tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Perkembangan itu sebelum ini menyebabkan Penjara Kajang dan kediaman Najib di Langgak Duta menjadi tumpuan pengamal media serta penyokongnya. – MalaysiaGazette
















