JOHOR BAHRU – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menyifatkan penahanan Pengarah Eksekutif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mandiri, Amir Hariri Abdul Hadi dan pengarah kewangannya, Dobby Chew semalam sebagai satu bentuk intimidasi.
Setiausaha Agung MUDA, Ainie Haziqah Shafii berkata, mereka ditahan kerana didakwa bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Namun pihak berkuasa masih tidak dengan jelas menyatakan sebab dan alasan munasabah tangkapan tersebut.
“Amir dan Dobby telah hadir untuk memberikan keterangan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa. Jika kehadiran secara sukarela dan kerjasama penuh masih berakhir dengan penahanan, apa lagi yang perlu dilakukan seseorang untuk membuktikan bahawa mereka tidak menghalang siasatan?
“Lebih membimbangkan, sebelum memberikan keterangan semalam, mereka menyatakan bahawa kesalahan khusus yang menjadi asas siasatan masih belum dijelaskan kepada mereka.
“Amir turut meminta penjelasan tentang kesalahan asal yang didakwa berkaitan dengan dana yang disiasat. Pihak berkuasa wajar menjawab persoalan ini tetapi mereka gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MUDA tidak mempertikaikan hak pihak berkuasa untuk menyiasat jika ada bukti kesalahan dan sekiranya terbukti bawa pertuduhan ke mahkamah.
Namun setiap tindakan mesti berasaskan bukti, adil dan bersesuaian.
“Siasatan tidak boleh menghukum. Penahanan tidak boleh dijadikan alat intimidasi atau hukuman sebelum seseorang dibuktikan bersalah. Kes ini membawa kesan jauh melangkaui Amir dan Dobby.
“Apabila akaun dibekukan, perjalanan disekat, pejabat diserbu dan mereka yang tampil memberikan kerjasama akhirnya ditahan, mesej yang sampai kepada seluruh masyarakat sivil amat membimbangkan: bersuara boleh membawa padah,” katanya.
Jelasnya, taktik yang menakutkan aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti mengingatkan rakyat terhadap zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) dahulu.
Beliau mempersoalkan adakah Pakatan Harapan (PH) sudah menjadi sama seperti yang mereka lawan BN dahulu.
Katanya, kerajaan yang membawa nama reformasi sepatutnya mempertahankan ruang demokrasi, termasuk hak anak muda untuk mengkritik kerajaan dan menuntut akauntabiliti.
“Sampai bila anak-anak muda hanya diharapkan mengikut cakap, tetapi ditekan apabila mereka berani bertanya? Reformasi tidak diuji ketika kerajaan berhadapan dengan orang yang bersetuju dengannya.
“Reformasi diuji ketika pengkritiknya bersuara. Jangan biarkan proses penguatkuasaan menjadi cara untuk membungkam mereka. MUDA menuntut Amir Hadi dan Dobby Chew dibebaskan serta-merta,” katanya.
Tambahnya, jika siasatan perlu diteruskan, lakukan secara profesional, telus dan berkadar dengan segala hak mereka di sisi undang-undang dihormati.
Semalam nedia melaporkan polis menahan kedua-duanya bagi membantu siasatan mengikut AMLATFPUAA)l 2001.
Pengasas bersama Mandiri, Mohammad Alshatri Abdullah dilaporkan berkata, kedua-dua individu itu ditahan selepas mereka hadir ke balai polis untuk memberi keterangan sebagai sebahagian daripada siasatan kes berkenaan.- MalaysiaGazette
















