Keratan media berhubung kejadian.

GEORGE TOWN – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang mengeluarkan notis larangan bagi menghentikan aktiviti kerja susulan kematian seorang pekerja warga Myanmar di sebuah tapak pembinaan kondominium di Jelutong di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa berusia 31 tahun dipercayai terjatuh dari tingkat 25 bangunan berkenaan sebelum ditemukan terbaring di tingkat 20.

JKKP dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya turut mengeluarkan Arahan Larangan Kacau Ganggu bagi memastikan kawasan kejadian dikekalkan untuk tujuan siasatan.

Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk memanggil pihak majikan dan saksi bagi mendapatkan maklumat serta keterangan berhubung kejadian.

“Siasatan awal JKKP mendapati mangsa sedang menjalankan kerja merombak dan memasang struktur ‘steel box section’ (cantilever) sebelum struktur berkenaan runtuh dan menyebabkan mangsa maut di lokasi.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 15, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) serta peraturan keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang berkaitan,” katanya.

JKKP memandang serius setiap kejadian kemalangan di tempat kerja dan menegaskan majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan pekerja selain keselamatan orang awam di tempat kerja sentiasa diberi keutamaan.

“Tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya hasil siasatan mendapati berlaku pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Pekerja tapak binaan kondominum maut terjatuh dari tingkat 25

Semalam media melaporkan, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad memgesahkan pemeriksaan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian berkenaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat dan satu Laporan Mati Mengejut  dibuka bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here