SUNGAI BESI – Kemelut di Negeri Sembilan perlu dilihat berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan dan proses perlembagaan yang ditetapkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak berhubung kemelut berkenaan sebaliknya berpandangan, setiap keputusan perlu dibuat berdasarkan undang-undang yang menjadi asas pemerintahan negeri.
“Saya tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak, satu betul, satu salah. Tetapi bagi saya, apa-apa keputusan atau perkara yang berlaku perlu kembali kepada undang-undang utama, iaitu Undang-Undang Tubuh negeri.
“Negeri Sembilan ini sedikit unik berbanding negeri-negeri lain. Kalau kita bukan orang Negeri Sembilan, agak tidak adil untuk kita memberikan komen,” katanya kepada media selepas menghadiri program Literasi Akta Antibuli 2026 di Maktab Tentera Diraja di sini hari ini.
Azalina berkata, lebih wajar perkara membabitkan kemelut tersebut diselesaikan oleh pihak yang memahami sistem pemerintahan dan adat Negeri Sembilan.
“Saya yakin, biarlah orang Negeri Sembilan yang membuat keputusan untuk Negeri Sembilan. Itu pandangan peribadi saya, saya orang Johor,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai pertukaran pegawai kanan dalam pentadbiran kerajaan negeri, Azalina berkata, perubahan dalam barisan pentadbiran merupakan perkara biasa apabila berlaku pertukaran kepimpinan.
Katanya, Menteri Besar atau Ketua Menteri mempunyai ruang untuk membuat perubahan tertentu dalam pentadbiran apabila mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri.
“Banyak orang jadi Ketua Menteri dan Menteri Besar pun boleh tukar pegawai. Itu proses biasa. Kalau kita ingat ketika Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau pernah tukar pegawai kanan kerajaan. Kemudian apabila Perdana Menteri bertukar, perkara itu juga berlaku,” jelas beliau.
Ketika ditanya mengenai kenyataan Jabatan Peguam Negara berkaitan kemelut berkenaan, Azalina tidak mempunyai maklumat mencukupi untuk memberikan ulasan lanjut.
“Saya tak boleh komen. Saya tak tahu dan saya tidak terlibat dalam apa-apa keputusan. Saya tidak bertanggungjawab jaga AGC.
“Saya baca apa yang semua orang baca. Kenyataan keluar tengah malam tadikan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















