KUALA LUMPUR – Krisis Perak pada 2009 wajar dijadikan pengajaran dalam menangani kemelut semasa di Negeri Sembilan, khususnya berhubung persoalan bidang kuasa Menteri Besar terhadap jawatan yang tertakluk kepada peruntukan undang-undang.
Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, terdapat duluan pada 2009 yang menunjukkan Menteri Besar tidak boleh mengambil tindakan menggantung pegawai tertentu sekiranya kuasa berkenaan bukan di bawah bidang kuasanya.
“Seorang MB tak boleh gantung ex-officio. Ada duluan telah direkodkan. Pada tahun 2009,” katanya malam ini.
Pada 2009, Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Mohd Sidek Hassan menyatakan penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Penasihat Undang-Undang Negeri tidak sah kerana Menteri Besar tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung kedua-dua pegawai berkenaan.
Menurut Mohd Sidek, kuasa menggantung pegawai terbabit terletak pada pihak berkuasa tatatertib masing-masing.
Saifuddin berkata, prinsip berhubung had kuasa itu perlu diberi perhatian dalam menangani kemelut di Negeri Sembilan dan tidak seharusnya mana-mana pihak membuat keputusan di luar bidang kuasa yang diperuntukkan undang-undang.
Beliau berkata, penyelesaian terhadap kemelut berkenaan perlu dikembalikan kepada kerangka Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta proses perundangan yang sah.
“Kalau terlalu berpanjangan krisis ini, mungkin juga sampai ke peringkat ‘darurat’ kerana tidak terkawal,” tegasnya.
Kenyataan itu dibuat ketika kemelut berhubung kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus menjadi pertikaian.
Jabatan Peguam Negara sebelum ini menyatakan Proklamasi 19 April 2026 mengenai kedudukan Tuanku Muhriz tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Jabatan itu turut menegaskan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun, pendirian tersebut dipertikaikan pihak Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin yang mempunyai tafsiran berbeza mengenai kuasa serta proses berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
Dalam perkembangan terbaharu, Tuanku Muhriz dilaporkan membatalkan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkuat kuasa serta-merta, manakala Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, menegaskan kesemua Exco terbabit masih sah menjalankan tugas masing-masing.
Dari sudut politik, Saifuddin berkata, kemelut yang berlaku hari ini perlu dilihat dalam konteks perkembangan politik Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Beliau berkata, krisis kepercayaan yang bermula sebelum ini akhirnya membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri, sebelum UMNO dan gabungannya memperoleh kemenangan serta membentuk kerajaan negeri dalam PRN berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, kemelut yang sepatutnya diselesaikan selepas mandat baharu diberikan rakyat kini semakin berlarutan sehingga memberi kesan kepada rakyat Negeri Sembilan.
Lebih membimbangkan, katanya, perkembangan itu kini menyentuh institusi Raja-Raja Melayu dan kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Yang kita risau ialah akhirnya rakyat Negeri Sembilan yang menjadi mangsa. Mereka sudah melalui proses politik, sudah beri mandat melalui pilihan raya, tetapi isu ini masih berlarutan.
“Lebih menyakitkan apabila perkara ini sekarang melibatkan institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.
Saifuddin berkata, semua pihak perlu berhati-hati dalam mengambil sebarang tindakan kerana kemelut berkenaan bukan lagi sekadar pertikaian politik.
Sebaliknya, kata beliau, ia turut menyentuh peruntukan khusus dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta kedudukan institusi Raja.
Beliau berkata, sebarang pertikaian mengenai kuasa dan kesahan sesuatu tindakan perlu diselesaikan melalui saluran perundangan dan perlembagaan yang tersedia bagi mengelakkan kemelut itu berkembang menjadi krisis lebih besar. -MalaysiaGazette
Kerajaan Negeri tiada kuasa gantung tugas SUK, Penasihat Undang-Undang Negeri – AGC
















