Zulkarnain (kanan) serta pihak pengurusan kampung datang ke sebuah rumah di Parit Sulong hari ini untuk mengejutkan murid yang ponteng sekolah.

BATU PAHAT – Buntu dengan tabiat segelintir murid di sebuah kampung di Parit Sulong di sini yang kerap ponteng sekolah, seorang ketua kampung mengambil inisiatif meminta bantuan wakil rakyat datang dan mengetuk pintu rumah mereka.

Usaha tersebut tidak sia-sia apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Sulong, Datuk Zulkarnain Kamisan yang bertandang ke rumah membuatkan mereka terkejut dan bangun pergi ke sekolah.

Zulkarnain kesal dengan silap murid terbabit yang tidak seharusnya berlaku sekiranya Ibu bapa mengambil berat tentang persekolahan anak masing-masing kerana pendidikan itu sangat penting untuk masa hadapan mereka.

“Saya kesal dengan kejadian seumpama ini apabila ada pihak yang datang untuk mendapatkan bantuan menjejaki anak-anak hanya kerana kerap tidak datang sekolah tanpa sebarang alasan munasabah.

“Walaupun ia diluar konteks, namun langkah diambil ini adalah satu perkara penting bagi memastikan anak-anak tidak keciciran pelajaran walaupun secara asasnya adalah tanggungjawab penjaga atau ibu bapa,” katanya kepada pemberita di kampung tersebut hari ini.

Datuk Zulkarnain Kamisan

Beliau berkata, kerajaan sudah menyediakan pelbagai kemudahan untuk membolehkan mereka mendapat pendidikan sebagai bekalan hidup masa hadapan namun masih ada juga yang mensia-siakan peluang tersebut.

“Kejadian seperti ini seharusnya tidak berlaku sekiranya pihak ibu bapa mengambil berat ketika orang lain berlumba-lumba untuk memastikan kejayaan anak-anak mereka,” katanya.

Zulkarnain berterima kasih kepada pihak pengurusan kampung yang mengambil berat tentang kehadiran murid sehingga sanggup turun padang untuk menjejaki mereka bagi memastikan anak-anak ini tidak terus tercicir pembelajarannya.

Bagaimana pun ujarnya, perkara asas adalah peranan ibu bapa kerana mereka adalah orang yang perlu bertanggungjawab terhadap masa hadapan anak-anak. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here