KUALA LUMPUR – Kerajaan negeri tidak mahu mengambil alih tugas institusi adat dalam menentukan pertikaian mengenai adat dan institusi Raja di Negeri Sembilan, kata Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.
Sebaliknya, tambah beliau, perkara tersebut hendaklah diselesaikan menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih serta melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa, termasuk Undang Yang Empat dan Dewan Keadilan dan Undang mengikut fungsi masing-masing.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri menyeru supaya semua pihak yang terlibat segera mencari jalan penyelesaian secara berhemah, tertib dan bermaruah demi mengembalikan keharmonian Negeri Sembilan.
“Apa jua keputusan muktamad yang dibuat secara sah oleh institusi yang mempunyai bidang kuasa menurut adat dan Undang-Undang Tubuh akan dihormati oleh Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, sebagai sebuah kerajaan yang diberikan mandat rakyat dan memegang amanah kuasa eksekutif berperlembagaan, kerajaan negeri akan terus mentadbir negeri itu, menjaga kepentingan rakyat dan mempertahankan keluhuran undang-undang.
“Kerajaan negeri tidak mencari pertelingkahan dengan Institusi Raja. Kerajaan juga tidak mahu adat dijadikan gelanggang politik.
“Namun pada masa yang sama, jangan jadikan kemelut adat dan institusi sebagai alasan untuk mengganggu, mengintimidasi atau menyekat sebuah Kerajaan Negeri yang sah daripada melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat,” katanya.
Tambahnya, tanggungjawab kerajaan negeri ialah memastikan pentadbiran kerajaan terus berjalan, rakyat terus diberikan perkhidmatan dan kemuliaan Institusi Adat serta Raja Negeri Sembilan terus dipelihara. – MalaysiaGazette
















