KUALA LUMPUR – Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin menggesa parti politik pembangkang supaya tidak mengambil kesempatan dengan kemelut takhta serta urusan adat dan pemerintahan Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan bersama, mereka meminta semua pihak luar yang tidak mempunyai kaitan dengan hal adat Melayu dan pemerintahan negeri, khususnya parti politik pembangkang, supaya tidak “menaguk di air keruh” dengan memutarbelitkan fakta sehingga mengeluarkan komen yang disifatkan jelek terhadap Kerajaan Negeri, Institusi Adat dan pemerintahan Negeri Sembilan.
Menurut mereka, tiada mana-mana parti politik mempunyai kuasa untuk menurunkan mana-mana Raja, sebaliknya kuasa berkenaan diperuntukkan kepada pihak yang sah dan dalam konteks Negeri Sembilan adalah prerogatif Undang Yang Empat.
“Suka juga kami ingatkan bahawa, adat yang telah diamalkan ini telah berlangsung lebih daripada 500 tahun, sudah tentulah kami selaku pemerintah dan ketua adat lebih memahami apa yang berlaku. Hanya jauhari mengenal manikam,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Dato’ Klana Petra Datuk Mubarak Thahak, Undang Luak Sungei Ujong: Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman, Datuk Maarof Mat Rashad, Undang Luak Jelebu; Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah; Undang Luak Johol, Datuk Sedia Raja Datuk Abdul Rahim Yasin, Undang Luak Rembau dan Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri, Tunku Besar Tampin.
Dalam perkembangan sama, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mendakwa tindakan Tunku Muhriz Tuanku Munawir mengarahkan pengumuman pemberhentian barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) adalah salah, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa.
Menurut mereka, kejadian tersebut tidak pernah berlaku dalam sejarah moden Negeri Sembilan dan disifatkan sebagai tindakan yang memalukan kerajaan negeri.
Mereka turut mendakwa tindakan berkenaan merupakan cubaan untuk mensabotaj keputusan kolektif Exco Kerajaan Negeri serta menghalang Raja Pemerintah Negeri Sembilan menjalankan pemerintahan, selain menghasut pentadbiran negeri supaya tidak memberikan taat setia kepada Raja Pemerintah yang mereka dakwa sah.
Selaku pemerintah dan ketua adat, mereka turut menegaskan sebarang keputusan berkaitan kedudukan Exco menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS) hendaklah dirujuk dan dilaksanakan atas nasihat Menteri Besar dan atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Dalam kenyataan sama, mereka mendakwa Tunku Muhriz telah diturunkan takhta menurut Perkara 10(1) dan (2) UUTKNS pada 19 April 2026, manakala proklamasi mengenainya telah disempurnakan menerusi tandatangan Menteri Besar Negeri Sembilan pada 3 Ogos 2026.
“Proklamasi penurunan takhta tersebut adalah sempurna menurut adat dan UUTKNS 1959 tanpa memerlukan pewartaan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut selari dengan pendirian Undang Yang Empat sebelum ini bahawa proklamasi penurunan takhta bertarikh 19 April 2026 telah ditandatangani serta dicop mohor dan kemudiannya dilengkapkan dengan tanda tangan Menteri Besar pada 3 Ogos 2026.
“Proklamasi penurunan takhta tersebut adalah sempurna menurut adat dan UUTKNS 1959 tanpa memerlukan pewartaan,” kata mereka lagi. – MalaysiaGazette















