Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir mendengar permohonan menggantung pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion berkaitan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Najib membuat kemunculan pertama selepas menerima pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah. Foto AIZAT ZAINAL, 25 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak masih menunggu surat rasmi pengampunan bersyarat dari pihak berwajib bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara kes SRC International sebagai tahanan rumah.

Peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu merupakan individu yang dinamakan dalam perkenan Yang di-Pertuan Agong, namun hingga kini beliau masih belum mendapat surat itu.

“Ini (sudah) hari yang kelapan, pelik ya. YDPA (Agong) sudah membuat keputusan mengikut kuasa prerogatif dan pihak yang paling mustahak (diberikan surat) adalah Datuk Seri Najib.

“Namun hingga kini, beliau masih belum mendapat surat rasmi dan pasukan pembelaan juga masih belum menerima dokumen yang memperincikan syarat-syarat pengampunan yang perlu dijalani.

“Kita tidak tahu kenapa surat itu begitu lambat manakala pihak Jabatan Penjara juga masih belum dapat surat.

“Jadi selagi kita tidak dapat surat, ia akan memudaratkan segala langkah-langkah yang kita perlu ambil kerana kita tidak tahu apa syarat yang dikenakan,” ujarnya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, pasukan pembelaan hadir bagi prosiding pengurusan kes bagi menentukan tarikh pendengaran permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion berkaitan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin menetapkan 14 Oktober ini bagi mendengar permohonan tersebut.

Pada 18 September lalu, Najib mendapat pengampunan bersyarat daripada Sultan Ibrahim, dengan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta.

Najib hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan sekiranya tidak mematuhi mana-mana syarat-syarat tersebut, maka pengampunan bersyarat berkenaan terbatal dan hendaklah secara serta-merta meneruskan baki hukuman di penjara.

Najib dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas tujuh pertuduhan berkaitan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here