KUALA LUMPUR – Pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan dibatalkan berkuat kuasa serta-merta pada 20 September lalu.
Pembatalan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Perkara itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Negeri Sembilan, N.S. P.U. 18, yang diterbitkan sebagai tambahan Perundangan, Jilid 79, No. 39.
Warta berkenaan menyatakan kesemua 10 Exco terbabit telah mengangkat dan menandatangani sumpah serta ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos 2026 sebelum mengambil tempat sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan.
Menurut warta itu, pembatalan dibuat selepas kesemua mereka didapati telah melanggar ikrar taat setia yang dilafazkan.


“Dan bahawasanya memandangkan kalian telah melanggar ikrar taat setia tersebut MAKA, Beta dengan ini menarik balik perkenan Beta dan membatalkan pelantikan kalian sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan,” menurut warta tersebut.
Mereka yang terlibat ialah Datuk Mohd Faizal Ramli (Exco Kemajuan Luar Bandar dan Pembangunan Wilayah); Datuk Zaifulbahri Idris (Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan); Datuk Mustapha Nagoor ( Exco Pembangunan Belia dan Sukan); Siow Kong Choon (Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Hal Ehwal Bukan Islam); Siti Nur Umaira Hasim (Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
Selain itu, Datuk Mohd Asna Amin (Exco Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital); Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup); Suhaimizan Bizar (Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO); Mohd Fairuz Mohd Isa (Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Razali Abu Samah (Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan).
Warta itu turut menetapkan pembatalan pelantikan kesemua mereka berkuat kuasa serta-merta pada 20 September 2026.
Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 turut memperuntukkan bahawa seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selain Menteri Besar memegang jawatan selama diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Dalam sidang media di Seremban petang tadi, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, menegaskan kerajaan negeri tidak mahu mengambil alih tugas institusi adat dalam menentukan pertikaian mengenai adat dan institusi raja.
Beliau berkata, perkara berkenaan hendaklah diselesaikan menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih serta melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa, termasuk Undang Yang Empat dan Dewan Keadilan dan Undang mengikut fungsi masing-masing.
Katanya, kerajaan juga menyeru supaya semua pihak yang terbabit segera mencari jalan penyelesaian secara berhemah, tertib dan bermaruah demi mengembalikan keharmonian Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette















