Saw Yee Fung.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memastikan Belanjawan 2027 yang dibentangkan bulan depan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kebolehpercayaan sistem pengangkutan awam, bukan hanya pembinaan laluan rel baharu.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, gangguan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya hari ini yang menyebabkan kesesakan berlaku susulan beberapa insiden melibatkan perkhidmatan LRT dan MRT semalam, selain kegagalan sistem isyarat di Laluan Kelana Jaya pada 15 September lalu.

Menurutnya, rentetan gangguan berkenaan boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem pengangkutan yang digunakan rakyat setiap hari.

“Dengan Belanjawan 2027 akan dibentangkan pada 9 Oktober ini, MCA Youth menggesa Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menangani keperluan infrastruktur yang semakin berusia serta penyelenggaraan perkhidmatan rel di Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yee Fung berkata, langkah itu selari dengan keutamaan Kementerian Kewangan untuk memperkukuh pengangkutan awam.

Jelasnya, rangkaian rel kendalian Prasarana merekodkan 31 kegagalan teknikal pada 2025, dengan 16 daripadanya berlaku di Laluan Kelana Jaya.

Susulan gangguan berulang itu, katanya, Prasarana telah mengemukakan Pelan Tindakan Pemulihan Komprehensif kepada Kementerian Pengangkutan pada Mac lalu.

“Enam bulan berlalu, namun kejelasan masih kurang. Berapa banyak tindakan yang telah dilaksanakan? Komponen kritikal mana yang telah diganti? Apakah risiko yang masih wujud dan bila fasa seterusnya akan disiapkan?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau berkata peruntukan RM1 bilion di bawah Belanjawan 2026 bagi pembelian 26 set tren baharu untuk Laluan Kelana Jaya merupakan langkah yang dialu-alukan.

Namun, katanya, tren baharu hanya akan tiba secara berperingkat mulai 2028, sedangkan kesemua 50 set tren sedia ada memerlukan baik pulih besar-besaran.

“Persoalannya, apa yang akan berlaku dalam tempoh sehingga tren baharu itu tiba?” katanya.

Sehubungan itu, Pemuda MCA mencadangkan Pelan Peningkatan Kebolehpercayaan Pengangkutan Awam dimasukkan dalam Belanjawan 2027 dengan memberi tumpuan kepada lima perkara.

Antaranya mempercepatkan proses baik pulih dan penggantian tren serta komponen kritikal yang sudah berusia, memperluas penyelenggaraan pencegahan dan ramalan, selain memastikan bekalan alat ganti serta tren simpanan mencukupi.

Langkah lain termasuk memperkukuh tindakan kecemasan ketika waktu puncak, termasuk penyediaan bas gantian dan pengurusan orang ramai, serta menerbitkan data prestasi secara telus.

Data berkenaan, katanya, perlu merangkumi jumlah gangguan, punca kerosakan, Mean Kilometre Between Failure (MKBF) dan perkembangan pelaksanaan pelan pemulihan.

Yee Fung menambah, setiap gangguan perkhidmatan boleh memberi kesan kepada orang ramai, termasuk pekerja yang lewat ke tempat kerja, pelajar yang terlepas kelas atau peperiksaan serta perniagaan yang kehilangan masa produktif.

“Pembinaan laluan rel baharu memang penting, tetapi rakyat Malaysia juga memerlukan tren yang sedang beroperasi hari ini berfungsi dengan baik dan boleh dipercayai.

“Belanjawan 2027 mesti melabur untuk masa depan, sambil memperbaiki sistem pengangkutan awam yang menjadi kebergantungan rakyat pada hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette

LRT Kelana Jaya pulih, waktu menunggu mungkin masih panjang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here